Friday 30 September 2011

Pengalaman Bercuti di Perkampungan Nelayan

Cuti sekolah telah pun bermula. Saya mengikut kawan karib saya, Din pulang ke kampungnya untuk menghabiskan masa cuti sekolah selama satu minggu. Kampung Din terletak di Rompin, Pahang. Kami menaiki teksi ke sana.

          Perjalanan ke sana dari pusat bandar Kuantan mengambil masa kira-kira dua jam. Rumah datuk Din terletak di persisiran pantai. Apabila teksi meluncur ke pekarangan rumah datuk Din, kelihatan datuk dan nenek Din telah menunggu kedatangan kami di beranda rumah. Mereka menyambut ketibaan kami dengan gembira.

          Kampung Din merupakan sebuah perkampungan nelayan. Kebanyakan peduduk di sana bekerja sebagai nelayan. Pemandangan di sana indah nian dan udaranya nyaman. Sebelum fajar menyinsing, saya dan Din telah bangun daripada tidur. Kami makan nasi lemak yang disediakan oleh nenek Din sebagai alas perut. Selepas itu, kami pun mengikut datuk Din turun ke laut untuk menangkap ikan.

          Inilah kali pertama saya menaiki bot nelayan ke tengah laut. Bot kami terumbang-ambing dipukul ombak apabila laut bergelora. Saya berasa loya dan pening-pening lalat. Apabila bot kami sampai di tengah laut, saya dan Din membantu datuknya melepaskan pukat untuk menangkap ikan. Setelah berjam-jam di tengah laut, kami berjaya mendapat hasil laut yang lumayan. Saya dan Din pun membahagikan hasil tangkapan kami ke dalam raga yang disediakan.

          Setibanya di jeti, kami memunggah raga yang dipenuhi hasil laut untuk dijual kepada peraih. Selepas makan tengah hari, saya dan Din menolong neneknya menyiang ikan yang tidak habis dijual. Saya tidak tahan dengan bau ikan yang hanyir. Ikan-ikan yang telah disiang dijemur di bawah sinaran matahari yang terik untuk dijadikan ikan kering.

          Pada waktu senja, saya dan Din bermandi-manda di laut. Air laut jernih dan dingin. Bayu laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa sungguh menyegarkan. Hati saya girang bukan kepalang. Saya juga berpeluang untuk belajar cara-cara untuk menyirat jala daripada datuk Din.

          Kehidupan datuk dan nenek Din di kampung sederhana tetapi bahagia. Saya berasa seronok kerana dapat merasai kehidupan di perkampungan nelayan. Memori manis ini akan terpahat dalam ingatan saya buat selama-lamanya.

Thursday 8 September 2011

Kegunaan Pokok Kelapa

Pokok kelapa atau dikenali sebagai pokok nyiur merupakan sejenis tumbuhan yang hidup subur di kawasan persisiran pantai. Tumbuhan ini juga banyak terdapat di desa dan di luar bandar.

          Pokok kelapa mempunyai banyak kegunaan kepada kita. Hampir setiap bahagian tumbuhan ini boleh digunakan. Oleh itu, pokok kelapa juga digelar pokok seribu guna.

          Isi buah kelapa muda boleh dimakan begitu sahaja ataupun dibuat kuih-muih dan biskut. Air kelapa pula enak diminum bagi menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan terutamanya pada hari panas. Bukan itu sahaja, isi buah kelapa tua yang telah diparut boleh diperah menjadi santan. Santan digunakan untuk memasak kari dan nasi lemak. Isi buah kelapa juga boleh diproses menjadi minyak, sabun dan marjerin.

          Selain itu, batang pokok kelapa yang panjang dan keras sesuai untuk dijadikan titi untuk menyeberangi sungai ataupun parit. Sabut kelapa pula boleh dibuat tali, berus dan bahan api. Tempurung kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan cenderamata dan barang hiasan yang cantik. Contohnya, tabung syiling, rantai kunci dan sebagainya.

          Di samping itu, daun pokok kelapa boleh dijadikan atap dan dibuat sarung ketupat. Lidinya pula boleh dijadikan pencucuk sate atau diikat untuk dijadikan penyapu lidi. Penyapu lidi sesuai digunakan untuk menyapu dedaun kering di halaman rumah.

          Pendek kata, pokok kelapa sangat berguna kepada kita. Oleh itu, kita sewajarnya menghargai tumbuhan ini dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...