Monday 27 June 2011

Faedah Menabung

Menurut Kamus Dewan, menabung membawa maksud menyimpan wang di dalam tabung ataupun di bank.

          Sejak kecil, kita digalakkan agar mengamalkan tabiat suka menabung. Hal ini demikian kerana amalan ini boleh memberikan banyak manfaat kepada kita.

          Salah satu faedah menabung adalah mendidik kita supaya memupuk sikap berjimat-cermat. Melalui amalan menabung, kita tidak akan boros semasa berbelanja. Kita akan membeli barang-barang yang penting sahaja dan menyimpan wang yang selebihnya untuk bekalan masa hadapan.

          Melalui amalan menabung, wang kita juga akan bertambah sedikit demi sedikit. Bak kata pepatah," sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit ". Apatah lagi, kita boleh mendapat dividen sekiranya menabung di bank.

          Selain itu, kita boleh menggunakan wang simpanan kita apabila berlaku kecemasan. Dengan itu, kita tidak perlu meminjam wang daripada orang lain. Malah, kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi dengan cepat dan mudah.

          Di samping itu, masa depan kita juga akan terjamin. Kita boleh berdikari dan meringankan beban ibu bapa. Misalnya, kita boleh menggunakan wang simpanan sendiri untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan membeli barangan keperluan sendiri.

          Pendek kata, amalan menabung merupakan satu amalan yang mulia. Oleh itu, marilah kita menabung bersama-sama.

Monday 20 June 2011

Mimpi

Jam dinding menunjukkan pada pukul 11.00 malam. Ayah dan ibu masih belum pulang ke rumah lagi dari tempat kerja mereka. Sementara menunggu kepulangan mereka, saya membaca buku cerita yang dipinjam dari perpustakaan sekolah sambil berbaring di atas sofa.

          Tiba-tiba, suasana menjadi gelap-gelita. Aku pun meraba-raba dalam kegelapan sambil berjalan ke dalam bilik untuk mendapatkan lampu suluh. Apabila saya membuka pintu bilik, saya ternampak satu sinaran cahaya yang terang. Saya berasa hairan lalu berjalan ke arah cahaya tersebut.

          Setelah lama berjalan, saya terdapat sebuah istana yang besar dan cantik. Di dalam istana itu tinggal seorang permaisuri yang zalim. Permaisuri itu cuba menangkap aku kerana mencerobohi istananya. Aku berasa takut lalu membuka langkah seribu untuk melarikan diri ke dalam hutan.

          Di dalam hutan, aku telah bertembung dengan tujuh orang kerdil yang baik hati. Mereka telah menyelamatkan aku dan membawa aku pulang ke rumah mereka. Mereka sangat peramah dan asyik berlawak untuk menghiburkan hatiku. Dalam perjalanan pulang ke rumah orang kerdil, muncul seorang bidadari. Dia menghadiahkan sebiji epal yang besar kepada aku. Tanpa berfikir panjang, aku pun memakan buah epal itu.

          Tiba-tiba, aku terjatuh ke lantai. Pada masa itu, aku terdengar suara seorang perempuan memanggil nama aku. Kepalaku juga diusap-usap beberapa kali. Dengan perlahan-lahan, aku pun membuka mataku. Aku melihat ibu dan ayah duduk di sisiku.

          Barulah aku sedar, rupa-rupanya aku hanya bermimpi.

Sunday 19 June 2011

Pengalaman Berkelah di Tepi Air Terjun

Pada cuti sekolah yang lalu, ayah telah membawa kami sekeluarga pergi berkelah di Air Terjun Sekayu. Sebelum bertolak, kami telah menyediakan bekalan makanan dan minuman, pakaian renang, radio, kamera dan tikar. Selepas itu, kami pun menaiki kereta ayah ke sana.

          Setibanya di destinasi, kami membantu ayah dan ibu menurunkan barang-barang dari but kereta. Kemudian, kami menghamparkan tikar di atas seketul batu yang besar lalu meletakkan barang-barang di atas tikar. Ramai orang berkelah di sana. Suasana di air terjun itu meriah sekali.

          Tanpa berlengah-lengah, saya dan adik-adik pun menyalin baju lalu terjun ke dalam air. Pemandangan di Air Terjun Sekayu indah nian. Air di sana jernih dan dingin, udara di sana juga nyaman. Kami dapat melihat banyak ikan kecil yang berwarna-warni berenang di dalam air dengan bebas. Kami bermandi-manda dengan seronok seperti itik mendapat air. Kami juga menangguk ikan dengan tangguk yang dibuat oleh ayah.

          Setelah penat bermain, kami pun naik ke darat untuk menikmati makanan yang dihidangkan oleh ibu. Adik-adik makan dengan lahap kerana terlalu lapar. Ayah dan ibu berasa geli hati melihat telatah mereka berdua.

          Selepas menjamu selera, kami bersiar-siar di sekitar kawasan air terjun. Di sana terdapat pelbagai jenis flora yang cantik dan unik. Kami telah mengambil kesempatan untuk menangkap gambar di sana sebagai kenang-kenangan. Saya dan adik-adik juga menyauk rerama yang berterbangan di atas bunga dengan sauk tetapi dilarang oleh ibu.

          Apabila matahari kian terbenam, kami pun berkemas untuk pulang ke rumah. Saya berasa berat hati untuk meninggalkan air terjun itu. Namun, ayah berjanji akan membawa kami ke Air Terjun Sekayu lagi pada masa hadapan.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...