Friday 13 July 2012

Dialog

Rakan kamu telah dipilih sebagai Tokoh Murid. Tuliskan perbualan antara kamu
dengan rakan kamu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.  
Jane     : Apa khabar, Julia?
Julia     : Khabar baik, Jane.
Jane     : Tahniah, kamu telah dipilih sebagai Tokoh Murid pada tahun ini!
Julia     : Terima kasih, Jane.
Jane     : Apakah perasaan kamu setelah dipilih sebagai Tokoh Murid?
Julia     : Saya berasa sungguh gembira. Semua ahli keluarga saya turut               
              berasa bangga atas kejayaan saya.
Jane     : Apakah rahsia di sebalik kejayaan kamu, Julia?
Julia     : Sebenarnya, tiada apa-apa rahsia. Saya hanya berpegang
              pada prinsip “Usaha Tangga Kejayaan”.
Jane     : Setahu saya, kamu bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik,
              malahan juga aktif dalam bidang sukan. Bagaimanakah kamu
              membahagikan masa kamu  untuk belajar dan bersukan?
Julia     : Saya telah membuat jadual untuk mendisiplinkan diri. Selepas pulang
             dari sekolah, saya akan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh 
             guru. Selepas itu, barulah saya berlatih badminton di gelanggang
             badminton. Pada sebelah malam pula, saya akan menelaah pelajaran
             dan membuat latihan pengukuhan.
Jane     : Siapakah yang banyak memberi dorongan kepada kamu?
Julia     : Ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan sentiasa memberi dorongan 
             dan sokongan kepada saya. Apabila saya menghadapi masalah        
             dalam pelajaran, saya akan bertanya kepada guru. Saya juga sering
             berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah diajar
             oleh guru.
Jane     : Terima kasih kerana sudi berkongsi rahsia kejayaan kamu dengan 
              saya, Julia.
Julia     : Sama-sama, Jane.

Sunday 8 July 2012

Mungkinkah mentari menjelma lagi...


Malam kian larut. Seperti malam-malam yang lalu, hanya bunyi cengkerik yang begitu setia menemani malam. Aku digigit kegelisahan, sukar untuk melelapkan mata. Kesunyian bergayut dalam fikiran.

Pasrah!

Aku sengaja membiarkan jendela kamar terbuka. Kedengaran deru ombak memecah keheningan. Bunyi ombak yang menghempas pantai kurasakan kian syahdu. Aku membiarkan angin bayu laut meniup menyelubungi tubuhku, membiarkan diri diancam angin yang tidak mengenal musuhnya.

"Tik! Tak! Tik! Tak!" Hujan mula turun membasahi bumi, tempias yang memercik ke muka kuusap dengan perlahan-lahan. Titisan-titisan hujan membentuk sebuah irama yang begitu menyenangkan.

Ah! Fikiranku bercelaru. Bagaimana pula dengan diriku ini? Siapakah diriku ini? Begitu sukar bagiku mengenali identitiku yang sebenar!

"Fina, mengapa masih termenung?" Tanya Cikgu Lokman sambil membelek-belek buku karangan yang masih belum kusentuh di atas meja. Pertanyaannya seperti merenggut jantungku. Aku cuba melepaskan segala yang terbuku di hati.

"Cikgu, saya, saya...... saya tak ada ibu!" kata-kata pagi tadi masih bermain-main dalam kotak fikiranku.

Hujan semakin lebat, angin bertiup kencang. Aku cuba melelapkan mata, memeluk tubuh membiarkan fikiran melayang. Sesekali kelopak mataku terbuka melihat potret seorang wanita yang tergantung teguh pada dinding yang dihiasi dengan warna merah jambu. Warna yang begitu lembut mencerminkan sifat kewanitaannya.

Mataku pdih dan pandanganku mula kelam. Aku bagai terjerumus dalam alam fantasi yang menggetarkan setiap inci hatiku. Suasana gelap-gelita.

Diri ini persis dibawa ke suatu tempat yang jauh, amat jauh. Kelihatan sinar cahaya di hadapan, semakin dekat ia semakin jelas. Ya! Sebuah mahligai usang yang penah terbina suatu ketika dulu.

Suasanaya sepi seperti tiada manusia yang menghuninya.Tanpa disedari, aku menolak daun pintu perlahan-lahan. Terbayang seorang wanita yang ayu dan berlemah-lembut. Seorang wanita yang tidak mementingkan material hidup tetapi kebahagiaan. Seorang wanita yang sanggup bertungkus-lumus mencari rezeki untuk menyara hidup seisi keluarga.

Ya! Aku mengenalinya. Dia ibuku. Seorang wanita yang agung. Ibu sanggup, dia sanggup mengharungi gelora, mengharungi segala cabaran dan dugaan.

Ibu seorang penunggu yang setia. Masih terukir harapan agar suaminya itu kembali ke pangkal jalan. Mengharapkan secebis kasih sayang daripada seorang lelaki yang digelar suami.

Kedatangan mendung hitam yang menyelubungi keluargaku itu tidak pernah kumimpikan. Peristiwa silam itu bertandang tanpa diundang.

Kulihat hari semakin kelam. Hujan lebat diikuti ribut petir. Lelaki yang digelar suami itu menagih lagi. Lelaki itu begitu kurus sehingga menampakkan tulang rusuknya. Seluruh tubuhnya menggigil. Busuk. Air hidung yang meleleh keluar dilap dengan lengan baju yang carik.

Aku kaku seketika. Mereka persis tidak sedar akan kehadiranku. Aku tercari-cari sesuatu. Aku melihat sekeliling.

Tiba-tiba, aku menjumpainya. Itu dia. Seorang anak kecil yang menyorokkan dirinya di bawah meja bersama-sama anak patung yang dipeluk rapat. Aku kenal akan anak patung itu. Itu Comot. Dapat kurasakan anak kecil itu dalam ketakutan, dalam kegelisahan.

"Eh, Sah! Pinjam dua puluh ringgit. Aku dah tak tahan ni!" Lelaki itu mula bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Wanita yang digelar isteri itu membisu.

Keadaan menjadi genting. Entah mengapa debaran di hati menjadi kencang. Aku melihat lelaki itu menghempas daun pintu. Dia mengamuk! Ya, dia mengamuk lagi. Aku sedar bahawa peperangan akan mencetus.

"Papa! Jangan papa! Jangan pukul mama, jangan papa! Mama!" Aku menjerit sekuat-kuatnya untuk menghalang namun jeritanku tidak bermakna. Tiada sesiapa pun yang mendengarnya.

Lemah...

Tanpa dipinta, air jernih bertakung di kelopak mata.

Dia kejam! Aku merenungnya dengan kebencian yang meluap-luap menusuk ke jiwa. Dia memang tidak layak digelar lelaki!

Pilu...

Aku mengangkat muka. Suasana kembali sepi. Papa sudah hilangkan diri entah ke mana. Anak kecil, turut tidak kelihatan lagi. Kulihat ibu terdampar di lantai. Dahinya berdarah.

Aku sedar, hati ibu berketul dengan gumpalan penderitaan. Aku segera mendapatkan ibu. Air matanya masih bercucuran di pipi. Rasa kasihan mula terbit di hatiku.

"Mama, jangan menangis. Fina ada bersama," aku mengusap lumuran darah di dahi ibu. Ibu sekadar mengangguk-angguk beberapa kali tanpa sepatah bicara.

Tenang.

Aku berasa tenang dan kian letih. Pandanganku menjadi kabur. Suasana samar-samar. Tanpa disedari, aku melelapkan mata dalam dakapan ibu.

Sejuk.

Tiba-tiba sahaja aku berasa sejuk. Terasa keseorangan. Di mana ibu?

"Mama!" Teriakku dengan nada yang lantang. Aku segera beralih ke alam nyata, membiarkan lamunanku tergantung tanpa tali. Pipiku basah, air mata menitis lagi. Wajah ibu masih berlayar di legar pandanganku. Di sinilah kami berpisah dan hanyut dalam dunia masing-masing.

Apakah begitu murah air mata seorang gadis sepertiku? Mengapakah Yang Maha Esa sanggup mempermainkan aku persis sebutir pasir yang lemah lagi kerdil ini? Mengurnia aku kebahagiaan namun dalam sekelip mata memusnahkannya sama sekali.

"Tidak, tidak rela aku berpisah dengan mama," bisikan hatiku.

Aku mengeluh panjang. Apakah dosaku?

Ayah, sudah dituakan oleh masa dan keadaan yang agak menghentak. Dia sudah insaf, menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang. Tampak jelas sekali kedut-kedut tua yang membanjiri wajah ayah tika ini.

Aku tiba-tiba digeletek rasa terharu dengan sikap ayah yang menyepikan diri semenjak pemergian ibu. Aku tahu, ayah ingin menebus segala-galanya yang berlalu. Ayah cuba membina kembali mahligai yang sudah runtuh sekian lama namun tidak lagi sempurna seperti dulu.

"Mama, mahligai tanpa permaisuri tidak berseri." Bisikku. Alangkah baiknya dapat
kukembali ke masa silam menghalang ibu meninggalkan aku dan mahligai usang itu.

"Mama, kembalilah kepada anakmu, anak yang mama tinggalkan tanpa apa-apa pesanan. Mama, kembalilah ke pangkuan suamimu."

Aku merindui ibu, menghauskan belaian kasih sayang ibu seperti anak-anak yang lain, mengharapkan dorongan dan nasihat ibu untuk meneruskan perjalanan hidup ini. Ibu ibarat sebutir permata, sinar yang memberikan nafas kepadaku. Tanpa ibu, siapalah diriku.

"Mama, berpalinglah kepada anakmu yang ibu tinggalkan dalam dakapan. Anak ibu hilang tempat bermanja, tiada tempat mengadu," kulafaz tanpa disedari.

Ah! Cukuplah sekali aku melalui saat-saat yang memilukan ini. Berbagai-bagai onak dan duri telah kutempuhi. Sudah puas aku membilang butir-butir hari. Aku kepingin menikmati detik-detik kemesraan yang pernah kami bina bersama suatu ketika dulu.

Sakit!

Perasaan sayu bercampur hiba menyerbu ke benakku. Detik demi detik menguris hatiku. Aku kian hilang kesabaran untuk menunggu ibu kembali di hari senja. Tidak sabar aku menanti saat pertemuan itu.

Aku berbisik kepada diri sendiri, " mungkinkah mentari menjelma lagi......"

Permainan Kegemaran Saya



            Setiap orang mempunyai permainan kegemaran sendiri. Saya juga tidak terkecuali. Permainan kegemaran saya ialah badminton.
            Pada hari jadi saya yang ke-8, ayah dan ibu telah menghadiahi saya raket badminton dan bulu tangkis. Pada waktu petang, ayah akan bermain badminton dengan saya di halaman rumah.  Semenjak itu, saya pun meminati permainan ini.
            Saya juga menyertai kelab badminton di sekolah saya. Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, saya akan menjalani latihan badminton di dewan sekolah. Jurulatih saya ialah Encik Razali. Beliau mengajar saya teknik-teknik memukul bulu tangkis yang betul. Kadang kala, saya akan bermain badminton bersama-sama jiran saya, Ah Meng di gelanggang badminton.
            Bermain badminton bukan sahaja dapat mengisi masa lapang saya, malahan dapat menyihatkan badan saya. Semasa bermain badminton, badan saya akan berpeluh. Oleh itu, badan saya cergas dan minda saya cerdas.
            Ayah dan ibu sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk menceburi bidang sukan badminton. Mereka juga sering menasihati saya agar berlatih dengan bersungguh-sungguh. Saya pernah menggondol pingat emas  dalam perlawanan badminton yang dianjurkan di sekolah saya. Ayah dan ibu berbesar hati dengan kejayaan saya.
            Dato’ Lee Chong Wei merupakan idola saya. Saya ingin mengikut jejak beliau  untuk menjadi seorang pemain negara yang terkenal dan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
            Saya sangat gemar bermain badminton. Saya berharap agar usaha saya akan membuahkan hasil.

Jiran Baharu Saya


                        Encik Zainal ialah jiran baharu saya. Beliau sekeluarga tinggal di sebelah rumah saya. Mereka baru sahaja berpindah ke sini sejak dua bulan yang lepas. Encik Zainal sekeluarga berasal dari Alor Setar, Kedah.
                        Encik Zainal seorang peniaga yang jujur. Beliau membuka kedai runcit di taman perumahan kami. Isterinya, Puan Rosnani ialah suri rumah tangga sepenuh masa yang ringan tulang. Beliau menguruskan kerja rumah dan menyediakan hidangan untuk keluarganya setiap hari.
             Encik zainal dan Puan Rosnani mempunyai seorang cahaya mata, Khairul. Khairul ialah anak emas mereka. Khairul sebaya dengan saya. Kami belajar di sekolah yang sama. Setiap hari, kami pergi ke sekolah dengan menaiki bas sekolah.
            Khairul ialah seorang murid yang cemerlang. Namun, dia tidak bersikap sombong. Apabila saya menghadapi masalah dalam peperiksaan, dia akan membantu saya. Sikap Khairul yang berbudi bahasa  menyebabkan kawan-kawan suka mendampinginya.
            Pada masa lapang, kami sering berbasikal di halaman rumah. Kadang kala, kami bermain bola sepak di padang. Walaupun saya dan khairul baru berkenalan, tetapi hubungan kami akrab seperti isi dengan kuku.
            Encik Zainal dan keluarganya sangat peramah. Mereka sering bertegur sapa dengan jiran tetangga. Oleh itu, semua jiran suka bergaul dengan mereka.
            Saya berasa gembira kerana boleh tinggal berjiran dengan Encik Zainal sekeluarga. Saya berharap agar mereka sentiasa sihat dan dicucuri rahmat.  

Pengalaman Tersesat di Dalam Hutan


            Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya telah mengikuti perkhemahan pengakap di Hutan Maran. Saya telah ditugaskan oleh Cikgu Latifah untuk mencari kayu api di pinggir hutan.
            Ketika saya leka mengutip kayu api, saya ternampak seekor burung yang jarang dijumpai hinggap di atas sepohon pokok. Burung itu mempunyai bulu pelepah yang cantik dan berwarna-warni. Saya cuba mendekati burung itu namun burung itu terbang ke dalam hutan.
            Tanpa berfikir panjang, saya pun mengejar burung itu ke dalam hutan. Dalam  sekelip mata sahaja, burung itu telah hilang dari pandangan saya. Saya berputih mata kerana terlepas peluang untuk menangkap burung itu. Saya pun berjalan pulang ke tapak perkhemahan.
            Setelah lama berjalan, saya  tidak dapat mencari jalan keluar dari hutan itu. Saya telah tersesat di dalam hutan. Saya mulai cemas dan takut. Apatah lagi, kaki saya lenguh dan perut saya berkeroncong.
            Apabila hari semakin gelap, cuaca menjadi semakin sejuk. Saya berehat di bawah sepohon pokok besar. Saya menangis kerana sekali-sekala mendenngar bunyi unggas yang menakutkan. Disebabkan terlalu letih, saya tertidur di bawah pokok itu.
            Pada keesokan pagi, saya terdengar suara kawan-kawan memanggil nama saya. Saya pun terjaga daripada tidur lalu berlari ke arah mereka.
            Saya bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. Pengalaman pahit ini akan menjadi satu pengajaran kepada saya dan tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya.  

Melawat Ke Dusun Buah-buahan



                        Pada cuti penggal yang lalu, bapa telah membawa kami sekeluarga pulang ke kampung untuk menziarahi datuk dan nenek. Kampung datuk terletak di Pekan, Pahang. Kami menaiki kereta bapa ke sana.
                        Kira-kira 45 minit kemudian, kami pun sampai di pekarangan rumah datuk. Datuk dan nenek menyambut kepulangan kami dengan tangan terbuka. Hati saya girang sekali kerana dapat berjumpa dengan datuk dan nenek.
                        Kami berlangkah kanan kerana pada waktu itu ialah musim buah-buahan. Datuk membawa kami ke dusunnya. Di dusun datuk terdapat banyak pokok buah-buahan, iaitu durian, manggis, duku, rambutan dan mangga. Pokok-pokok berbuah lebat dan buah-buahan telah masak ranum.
                        Saya dan adik menolong datuk mengutip buah durian yang gugur di kawasan semak. Bapa pula mengait rambutan dengan galah yang panjang. Kami meletakkan buah-buahan itu di dalam raga.
                        Setelah penat, kami berehat di bawah pokok yang rendang. Datuk dan bapa mengopek buah durian untuk kami makan. Air liur kami meleleh apabila menghidu bau durian yang harum. Kami menjamah durian dengan sepuas-puasnya.
                        Pada waktu senja, kami pun pulang ke rumah. Datuk memberikan beberapa biji durian dan seikat rambutan kepada kami sebagai buah tangan. Saya berasa seronok kerana dapat menjejak kaki ke dusun datuk. Saya akan menziarahi datuk dan nenek lagi pada cuti sekolah yang akan datang. 

Majlis Hari Lahir Saya



 
                                Pada hari minggu yang lepas, saya telah meraikan hari jadi saya yang ke-12 di rumah saya. Saya telah menjemput semua rakan sekelas ke majlis hari jadi saya.
                        Pada hari tersebut, ayah dan abang sibuk menghias ruang tamu dengan belon dan reben yang beraneka warna. Saya dan kakak pula membantu ibu menyediakan makanan di dapur.
                           Ibu telah menyediakan pelbagai jenis makanan yang enak. Antaranya ialah nasi minyak, mi goreng, ayam goreng, keropok, agar-agar, jus buah-buahan dan lain-lain lagi. Ibu juga membuat sebiji kek yang besar untuk saya. Kami menghidangkan makanan dan kek di atas meja.
                        Kira-kira pada pukul 6.00 petang, kawan-kawan pun tiba. Mereka membawa hadiah untuk saya. Saya menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka. Semua kawan berdiri mengelilingi saya. Kami menyanyi lagu “Selamat Hari Jadi” sambil bertepuk tangan dengan gembira.
                        Selepas membuat hajat, saya pun meniup lilin lalu memotong kek. Saya menjemput kawan-kawan menikmati kek dan makanan yang dihidangkan di atas meja.
                        Selepas menjamu selera, kami bermain permainan cari cucu dan meniup belon di halaman rumah. Saya juga mengambil gambar bersama kawan-kawan untuk dijadikan kenangan.
                        Pada pukul 10.00 malam, majlis hari jadi saya telah berakhir. Semua kawan pun pulang ke rumah ke rumah masing-masing. Saya berasa sangat gembira kerana mendapat banyak hadiah pada hari jadi saya.

Haiwan Kesayangan Saya


 
                        Haiwan kesayangan saya ialah anjing. Anjing ini dihadiahkan oleh ayah saya pada hari jadi saya yang ke – 10. Saya menamakan anjing ini Bob.
                        Bob ialah seekor anjing jantan yang baru berusia satu tahun. Bulu Bob berwarna hitam dan bertompok putih. Bob mempunyai sepasang mata yang besar dan hitam. Bulunya pula pendek dan gebu.
                        Bob tinggal di sebuah rumah anjing yang dibina oleh ayah dan abang saya. Rumah anjing Bob ditempatkan di tepi garaj kereta. Saya memberi Bob makan dua kali sehari. Makanan kegemaran Bob ialah tulang dan daging. Kadang kala, saya memberi Bob minum susu segar.               
            Pada setiap hujung minggu, saya akan memandikan Bob dengan syampu. Saya juga akan membersihkan tempat tinggal Bob supaya Bob dapat tinggal dengan selesa. Ibu bapa sering menasihati saya agar menjaga Bob dengan baik dan memastikan Bob sentiasa sihat.
                        Bob ialah anjing yang cerdik dan manja. Bob juga patuh akan arahan saya. Apabila kami sekeluarga tiada di rumah, Bob akan menjaga rumah. Sekiranya orang yang tidak dikenali lalu di hadapan rumah saya, Bob akan menyalak dengan kuat.
                        Bob ialah teman baik saya. Pada masa lapang, saya akan membawa Bob bersiar-siar di taman. Bob suka menguit-nguit ekornya semasa bermain kejar-kejar dengan saya.
                        Saya dan keluarga amat menyayangi Bob. Saya berharap agar Bob dapat menemani kami buat selama-lamanya.  

Friday 6 July 2012

Perhimpunan di Sekolah Saya



                        Nama saya Lee Hong. Saya menuntut di SJK ( C ) Chung Hwa. Sekolah saya mengadakan perhimpunan di dewan pada setiap hari Isnin.
                        Apabila loceng sekolah berbunyi, murid-murid beratur ke dewan dengan tertib. Semua warga dewan berdiri tegak untuk menyanyikan lagu “Negaraku”, lagu negeri dan lagu sekolah. Tiga orang pengawas ditugaskan untuk menaikkan bendera di tepi pentas. Kami menyanyi dengan kuat dan penuh semangat patriotik.
                        Seterusnya, Guru Besar menyampaikan ucapan di atas pentas. Guru Besar mengingatkan murid-murid agar membuat persiapan awal bagi menghadapi peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi. Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Beliau juga menasihati murid-murid agar menjaga kebersihan kawasan sekolah supaya dapat belajar dengan selesa. Semua murid memasang telinga untuk mendengar amanat beliau.
                        Selepas itu, juruacara mengumumkan keputusan pertandingan kebersihan antara kelas. Kelas yang terbersih pada minggu lepas ialah kelas 5A. Guru besar menyampaikan sijil dan piala kepada ketua kelas tersebut.
                        Kemudian, murid-murid dari kelas 6B mengadakan persembahan di atas pentas. Persembahan mereka amat menarik dan menghiburkan hati kami.
                        Perhimpunan tamat pada pukul 8.15 pagi. Murid-murid pun beratur pulang ke kelas masing-masing untuk meneruskan pembelajaran.
                        

Hobi Saya




 Semua orang mempunyai hobi. Begitu juga dengan saya. Hobi saya ialah menunggang basikal.
            Saya suka menunggang basikal sejak berumur lima tahun lagi. Pada hari jadi saya, ibu bapa telah menghadiahi saya sebuah basikal BMX. Setiap petang, bapa mengajar saya menunggang basikal di padang yang luas.
            Pada mulanya, saya asyik terjatuh dari basikal. Namun, saya tidak berputus asa. Ibu bapa juga mendorong saya supaya mencuba lagi. Selepas beberapa minggu, saya pun pandai menunggang basikal.
            Pada masa lapang, saya akan menunggang basikal di taman rekreasi bersama-sama kawan saya. Kadang kala, saya berbasikal ke sekolah. Hobi ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang saya malahan dapat menyihatkan badan saya. Oleh itu, badan saya cergas dan otak saya cerdas.
            Pada setiap hari minggu, saya akan mencuci basikal saya dengan air sabun. Saya juga menggilap basikal saya sehingga berkilat-kilat. Pada waktu malam, saya akan mengunci basikal saya di garaj kereta agar tidak dicuri orang. Saya sangat sayang akan basikal saya.
            Saya berasa gembira kerana mempunyai hobi yang baik. Saya berharap agar hobi saya akan berterusan sehingga saya dewasa.

Thursday 5 July 2012

Jika Saya Seorang Jutawan

                        Setiap orang mempunyai impian. Begitu juga dengan saya. Impian saya adalah menjadi seorang jutawan.
                        Jika saya seorang jutawan, saya akan membeli sebidang tanah yang luas dan memiliki pemandangan yang indah nian. Udara di persekitarannya hendaklah nyaman. Saya akan  membina sebuah vila di sana dan menjemput semua ahli keluarga untuk tinggal bersama-sama. Saya juga akan membeli beberapa buah kereta mewah yang saya idam-idamkan.
                        Di samping itu, saya akan membina sekolah dan hospital di kawasan pedalaman. Dengan adanya sekolah, penduduk di kawasan pedalaman yang buta huruf akan berpeluang untuk menimba ilmu. Mereka juga boleh mendapatkan rawatan yang terbaik dan percuma di hospital yang saya bina. 
             Selain itu, saya akan menabung di bank. Saya juga akan mendermakan sebahagian daripada wang saya kepada pusat-pusat kebajikan seperti rumah anak-anak yatim, rumah orang tua dan rumah orang cacat. Saya hendak membantu orang yang bernasib malang dan memerlukan bantuan.
                        Bukan itu sahaja, saya akan membawa ibu bapa saya menjelajah ke seluruh dunia untuk melihat kebudayaan dan kesenian bangsa-bangsa yang lain. Saya teringin untuk menjejak kaki ke Negara Eropah yang sering menjadi buah mulut orang ramai. Saya akan mendalami pengetahuan dalam lapangan seni muzik yang saya minati.   
                        Saya sedar bahawa bukan senang untuk merealisasikan impian saya. Oleh itu, saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin, impian saya akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Bunyi-bunyi Binatang


menyalak





meringkik





mengeboh





mengembek





mengiau





menguak





mendesis





menguek




mendecit





mengerih





berkokok





berkicau


Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...