Monday 23 September 2013

Suasana di Pasar Malam


            Nama saya Amirul. Saya dan keluarga saya tinggal di Taman Melawati. Tidak jauh dari rumah saya terdapat sebuah pasar malam. Pada setiap hari Jumaat, pasar  malam ini akan dibuka dari pukul 6.00 petang hingga 10.00 malam.

            Pasar malam ini agak besar. Banyak penjaja berniaga di pasar malam ini. Kira-kira pada pukul 5.00 petang, para penjaja sudah mula membuka gerai masing-masing di bahu jalan. Terdapat gerai makanan dan minuman, gerai buah-buahan, gerai sayur-sayuran, gerai pakaian, gerai alat permainan dan sebagainya.

            Menjelang malam, pasar malam ini menjadi terang-benderang kerana setiap gerai dipasang dengan lampu neon ataupun lampu kalimantang. Para penjaja sibuk menyusun barang-barang jualan mereka. Ada penjaja yang sibuk memasak dan ada pula penjaja yang sibuk menghidangkan makanan untuk dijual.

            Suasana di pasar malam meriah sekali. Sekali-sekala kedengaran suara penjaja yang menjerit harga untuk menarik perhatian pengunjung. Terdapat juga pengunjung yang asyik tawar-menawar harga dengan penjaja untuk membeli barangan yang dikehendaki dengan harga yang lebih murah. Para penjaja melayan kerenah pelanggan mereka dengan mesra dan berbudi bahasa.

            Di pasar malam juga kelihatan beberapa orang pengemis yang berpakaian compang-camping duduk di bahu jalan. Mereka mencari rezeki dengan  memainkan alat muzik. Sesetengah pengunjung yang bermurah hati memberi sedekah kepada pengemis kerana bersimpati terhadap nasib malang yang menimpa mereka.

            Apabila malam kian larut, suasana di pasar malam menjadi kian lengang. Para penjaja pun membersihkan kawasan perniagaan masing-masing lalu pulang ke rumah.

Sunday 22 September 2013

Aku Sekaki Payung


            Aku ialah sekaki payung. Namaku Merah kerana badanku berwarna merah. Aku dilahirkan di sebuah kilang yang terletak di Shah Alam. Aku diperbuat daripada besi dan plastik yang berkualiti.

            Setelah dilahirkan, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pasar raya yang terletak di Kuala Lumpur. Kami telah dipamerkan di atas rak dan dilabelkan harga RM 19.90. Hatiku girang sekali kerana dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang baharu.

            Beberapa hari kemudian, seorang perempuan singgah di hadapanku. Perempuan itu membelek-belek aku. Dia tertarik dengan warna badanku yang menarik. Dia pun membeli aku lalu membawa aku pulang ke rumahnya.

            Tuan aku bernama Mariam. Dia seorang jurujual yang ringan tulang. Aku sangat berguna kepada tuan sama ada pada hari panas mahupun hari hujan. Aku boleh melindungi tuan daripada terkena pancaran matahari yang terik dan air hujan.

            Tuan sentiasa menggunakan aku dengan cermat. Dia juga menjaga aku dengan baik. Apabila badanku kotor, tuan akan mengelap aku dengan kain yang bersih. Selepas  itu, dia menyimpan aku di dalam bilik setor.

            Aku berbesar hati kerana dapat berkhidmat kepada tuan aku. Aku akan terus berbakti kepada tuan sehingga riwayatku tamat.

Sekolah Saya


          Nama saya Anusha Dewi. Saya menuntut ilmu di SJK (C) Kuang Hwa. Sekolah saya terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan .

          Sekolah saya besar dan bersih. Di sekitar kawasan sekolah saya telah ditanami pokok bunga yang cantik. Sekolah saya  dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kantin, dewan, bilik muzik, bilik komputer, makmal sains, perpustakaan yang berhawa dingin dan padang yang luas.

          Di sekolah saya juga terdapat taman sains dan pondok bacaan. Pada waktu rehat, murid-murid suka bersiar-siar atau membaca buku di sana. Semua murid wajib mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan kawasan sekolah.

          Guru besar sekolah saya ialah Encik Hong Kong Yean. Beliau seorang guru besar yang tegas tetapi penyayang. Beliau amat mengambil berat tentang pelajaran murid-murid. Di sekolah saya terdapat 82 orang guru dan 1100 orang murid. Guru-guru di sekolah saya ringan tulang dan berdedikasi. Murid-murid pula peramah dan berbudi bahasa. Murid-murid sentiasa pasang telinga semasa guru mengajar di dalam kelas.

          Pada setiap hari Isnin, sekolah saya akan mengadakan perhimpunan di dewan sekolah. Apabila loceng sekolah berbunyi pada pukul 7.40 pagi, murid-murid akan beratur ke dewan untuk perhimpunan. Waktu persekolahan di sekolah saya bermula dari pukul 7.40 pagi hingga 1.10 petang.

          Saya sangat sayang akan sekolah saya. Saya amat bertuah kerana dapat belajar di sekolah ini.

         

Kebaikan Menonton Televisyen


          Televisyen merupakan sejenis media elektronik yang memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Dewasa ini, hampir setiap rumah mempunyai sebuah televisyen.

          Menonton televisyen boleh memberi banyak kebaikan kepada kita. Melalui televisyen, para penonton boleh mendapat maklumat tentang ramalan cuaca. Dengan itu, kita boleh membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana-bencana yang diramalkan akan berlaku.

          Selain itu, rancangan berita yang disiarkan melalui televisyen membolehkan kita mengetahui hal ehwal semasa yang berlaku di dalam mahupun di luar negara. Kita akan memjadi lebih peka terhadap perkembangan semasa.

          Dalam pada itu, para murid boleh menambahkan pengetahuan melalui rancangan berunsurkan pendidikan yang disiarkan melalui televisyen. Murid-murid tidak akan berasa bosan dengan hanya membaca buku sahaja.


          Di samping itu, kita boleh mengisi masa lapang kita dengan menonton televisyen di rumah. Di samping melapangkan fikiran, kita boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kita juga dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti merokok dan melepak.

          Televisyen sememangnya berguna dan penting kepada kita. Kita hendaklah pandai memilih rancangan televisyen yang sesuai dan memanfaatkan kita.

Thursday 19 September 2013

Kebaikan Membaca Surat Khabar


          Surat khabar memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Surat khabar merupakan sejenis alat media cetak yang menyebarkan maklumat-maklumat yang berfaedah kepada kita.

          Membaca surat khabar boleh menambahkan ilmu pengetahuan kita. Melalui surat khabar, kita boleh mendapat maklumat-maklumat tentang politik, ekonomi, sukan, hiburan dan sebagainya. Surat khabar memaparkan berita-berita dari dalam dan luar negara.

          Selain itu, membaca surat khabar boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Di samping melapangkan fikiran kita, membaca surat khabar boleh mengelakkan kita daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak baik seperti merokok, berjudi dan melepak. Melalui surat khabar, kita akan lebih peka terhadap perkembangan semasa.

          Sebagai murid, kita patut memupuk sikap suka membaca surat khabar. Amalan membaca surat khabar bukan sahaja boleh menambahkan perbendaharaan kata kita, malah boleh meningkatkan teknik penulisan kita. Seseorang yang berpengetahuan luas akan mendapat sanjungan, sebaliknya yang berpengetahuan cetek pula akan diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.

          Amalan membaca surat khabar mendatangkan banyak kebaikan kepada kita. Kita patut memupuk amalan membaca surat khabar sejak kecil lagi.

Thursday 5 September 2013

Sambutan Hari Guru di Sekolah Saya

          Tanggal 16 Mei merupakan Hari Guru. Sekolah saya telah mengadakan majlis sambutan Hari Guru di dewan sekolah. Sambutan ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam usaha membentuk generasi yang berwibawa.
          Tepat pada pukul 8.00 pagi, guru-guru dan murid-murid telah berhimpun di dalam dewan. Semua warga sekolah berdiri tegak untuk menyanyikan lagu "Negaraku", lagu negeri dan lagu sekolah. Selepas itu, Guru Besar menyampaikan ucapan di atas pentas. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau turut mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru.
          Seterusnya, murid-murid mengadakan persembahan di atas pentas. Contohnya, tarian, nyanyian, lawak jenaka, orkestra, diabolo dan pertunjukan silap mata. Persembahan-persembahan yang menarik telah menghiburkan hati para penonton.
          Kemudian, pengerusi majlis mempersilakan guru besar untuk menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat di sekolah kami. Cikgu Kamarudin telah dipilih sebagai Tokoh Guru pada tahun ini. Semua warga dewan memberikan tepukan yang gemuruh kepada beliau.
          Selepas acara penyampaian hadiah, semua guru dijemput ke kantin untuk jamuan ringan. Kami turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan hadiah berupa bunga, kad ucapan dan bekas tangan kepada guru-guru yang disayangi sebagai tanda penghargaan. Kami juga merakam gambar dengan guru-guru untuk dijadikan kenangan.         
          Majlis sambutan Hari Guru berakhir pada pukul 1.00 petang. Kami pun pulang ke rumah dengan gembira.

Monday 2 September 2013

Perkhemahan Pengakap di Sekolah Saya

          Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya telah menyertai perkhemahan pengakap yang diadakan di sekolah saya selama dua hari satu malam. Perkhemahan ini telah disertai oleh 25 orang ahli pengakap dan diiringi oleh 4 orang guru penasihat.

          Kira-kira pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di padang sekolah. Ketua perkhemahan, Cikgu Rosli memberikan taklimat ringkas kepada semua ahli pengakap dan membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas. Kami pasang telinga untuk mendengar arahan beliau.

          Mula-mula, kami mendirikan khemah mengikut kumpulan masing-masing. Semua ahli pengakap berganding bahu untuk melaksanakan tugas yang diarahkan oleh ketua kumpulan bagai aur dengan tebing. Selepas itu, kami menghadiri ceramah pertolongan cemas di dewan sekolah. Cikgu Kamar dan beberapa orang ahli pengakap senior mendemonstrasikan cara-cara memberi pertolongan cemas. Beliau juga mengajar kami cara-cara membalut luka dengan kain anduh.

          Pada waktu tengah hari, kami mengadakan pertandingan memasak. Setiap kumpulan dikehendaki menyediakan satu hidangan tradisional. Kumpulan saya telah menyediakan Nasi Goreng Kampung. Walaupun kami hanya berjaya mendapat tempat ketiga, namun saya berasa sangat gembira kerana dapat mempelajari cara-cara memasak dan menikmati masakan sendiri walaupun tidak seenak masakan ibu.

          Pada sebelah petang, kami berlatih kawad kaki di tengah padang. Semua ahli pengakap mendengar arahan ketua denga teliti. Kami berkawad kaki dengan penuh disiplin dan semangat berpasukan. Kemudian, kami mengutip kayu api untuk menyalakan unggun api di hadapan khemah.

          Selepas makan malam, kami duduk mengelilingi unggun api. Setiap kumpulan mempersembahkan pertunjukan mengikut kreativiti masing-masing. Cikgu Saifudin turut memetik gitar sambil menyanyi lagu Rasa Sayang. Kami semua berasa gembira dan terhibur.

          Pada keesokan pagi, semua ahli pengakap menjalankan senamrobik di padang. Selepas bersarapan pagi, kami pun membersihkan tapak perkhemahan dan berkemas untuk pulang ke rumah. Kami telah mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan yang berharga hasil daripada perkhemahan ini.

Suasana di Pejabat Pos

Pada suatu petang, saya menemani ibu ke pejabat pos untuk menjelaskan bil elektrik dan bil air. Saya telah mengambil peluang ini untuk mengirim sekeping kad ucapan hari jadi kepada sahabat pena saya yang menuntut di negara jiran, Singapura kerana hari jadinya akan menjelang tidak lama lagi. Saya dan ibu menaiki kereta ke sana.
 
          Pejabat pos tersegam megah di tengah-tengah pusat bandar. Terdapat ramai kakitangan berkhidmat di sana. Saya dan ibu beratur di kaunter pertanyaan untuk mengambil nombor giliran. Selepas itu, kami pun duduk di tempat yang disediakan untuk menunggu giliran kami.
 
          Di pejabat pos terdapat banyak kaunter yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Misalnya, kaunter pembayaran bil-bil, kaunter pembaharuan lesen, kaunter kiriman dan setem, kaunter cenderahati dan lain-lain. Setiap kaunter menawarkan perkhidmatan yang berlainan.

          Di penjuru pejabat pos terdapat ruang pameran yang mempamerkan pelbagai koleksi setem, sampul surat dan rantai kunci yang menarik. Ramai pengunjung melawat ke ruang pameran tersebut untuk membeli setem dan rantai kunci yang disukai oleh mereka untuk dijadikan kenangan.
 
          Di kaunter pula, pegawai-pegawai yang bertugas sibuk melayan kerenah pengunjung. Mereka melayan para pengunjung dengan mesra dan berbudi bahasa. Saya dan ibu menunggu giliran kami dengan sabar. Apabila nombor kami dipanggil, kami pun segera menuju ke kaunter.

          Setelah selesai berusan di pejabat pos, saya dan ibu pun pulang ke rumah. Saya berharap agar kad kiriman saya selamat diterima oleh sahabat pena saya.   

Sunday 1 September 2013

Kehidupan Seorang Pekebun

          Pak Jamal seorang pekebun yang ringan tulang. Dia berbadan kurus dan berkulit hitam manis. Pak Jamal dan keluarganya tinggal di sebuah rumah usang di hujung Kampung Baru.
         Hari belum terang tanah, Pak Jamal sudah berada di kebunnya. Dia membanting tulang untuk mengusahakan kebunnya. Walaupun kebun Pak Jamal hanya sekangkang kera, namun dia yakin bahawa berkat usahanya pasti dapat menyara hidup isteri dan tiga orang anaknya.
          Pada sebelah pagi, Pak Jamal akan mencangkul tanah untuk membuat batas. Kemudian, dia menaburkan anak benih di atas batas. Dia juga rajin membaja dan menyiram sayur-sayurannya supaya sayur-sayurannya hidup dengan subur.
           Pada sebelah petang pula, Pak Jamal akan memetik sayur-sayuran yang sudah matang untuk dijual. Isteri dan anak-anaknya turut membantu dia mencabut rumput-rampai yang tumbuh meliar di sekeliling batas. Kadang kala, Pak Jamal akan menyembur racun serangga perosak supaya hasil tanamannya tidak dimakan oleh serangga perosak.
           Pada waktu senja, Pak Jamal akan menjual hasil tanamannya di pasar malam. Ramai orang suka membeli sayur dengan Pak Jamal kerana sayur-sayurannya segar dan harganya pula berpatutan. Sikap Pak Jamal yang jujur dan peramah menyebabkan dia disenangi oleh semua penghuni di Kampung Baru.
            Begitulah rutin hidup Pak Jamal. Dia sentiasa bersyukur walaupun hidup keluarganya bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia berdoa agar keluarganya sentiasa diberkati dan dicucuri rahmat.
       

Pengalaman ke Pasar

          Pada hari minggu yang lepas, saya telah mengikut ibu ke pasar yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Saya dan ibu berjalan kaki ke sana.

          Ramai orang berkunjung ke pasar untuk membeli-belah. Suasana di pasar riuh-rendah dengan suara pengunjung dan peniaga. Di pasar terdapat banyak gerai seperti gerai sayuran-sayuran, gerai ikan, gerai daging dan gerai buah-buahan.

          Saya dan ibu berjalan ke gerai sayur-sayuran. Di gerai itu ada menjual pelbagai jenis sayur. Contohnya, kangkung, bayam, kubis, timun, peria, terung dan tomato. Penjual sayur menyusun sayur-sayuran di atas para-para dengan rapi. Ibu telah memilih seikat sayur kangkung, sepeket cili dan beberapa biji ubi kentang. Ibu juga tawar-menawar harga sayur-sayuran dengan penjual itu supaya dapat membeli sayur-sayuran dengan harga yang lebih murah.

          Kemudian, saya dan ibu pergi ke gerai buah-buahan. Di gerai itu terdapat buah-buahan tempatan dan buah-buahan import. Antaranya ialah tembikai, nanas, epal, pisang, jambu batu, rambutan dan lain-lain lagi. Ibu telah membeli tembikai kegemaran kami sebagai pencuci mulut. Penjual itu melayan kami dengan mesra dan berbudi bahasa.

          Selepas itu, kami pergi ke gerai ikan. Lantai di sana basah dan licin. Saya memegang tangan ibu erat-erat agar tidak tergelincir. Seorang penjual ikan asyik menjerit harga ikan yang ditawarkan untuk menarik perhatian kami. Ikan yang dijualnya segar-bugar. Ibu pun membeli selonggok udang dan dua kilogram ikan kembung.

          Setelah selesai membeli-belah, saya pun menolong ibu menjinjing bakul yang penuh berisi barang lalu pulang ke rumah. Saya berharap agar dapat menemani ibu ke pasar lagi pada minggu hadapan.

Taman Permainan di Tempat Tinggal Saya

          Nama saya Ana. Saya tinggal di Taman Mewah. Tidak jauh dari rumah saya ada sebuah taman permainan.

          Ramai orang suka berkunjung ke taman permainan terutamanya pada waktu pagi dan waktu petang. Taman permainan ini sangat bersih dan cantik. Di sekeliling taman permainan ini telah ditanami pepohon yang rendang dan menghijau.

          Di taman permainan ini terdapat pelbagai kemudahan seperti pondok rehat, bangku, tong sampah, pondok telefon awam, trek joging dan padang yang luas. Di taman ini juga terdapat alat permainan seperti jongkang-jongket, papan gelongsor, buaian, dan palang besi. Ramai kanak-kanak suka menghabiskan masa lapang mereka di sini.

          Pada setiap petang, saya dan keluarga akan mengambil angin di taman permainan ini. Saya suka menunggang basikal manakala abang pula suka bermain kasut roda di taman permainan ini. Dua orang adik kembar saya yang masih kecil pula suka bermain papan gelongsor dan jongkang-jongket. Seperti biasa, ayah dan ibu akan bersembang di bawah pokok yang rendang sambil memerhatikan kami.

          Pada waktu senja, suasana di taman permainan begitu meriah dengan suara gelak ketawa kanak-kanak. Di taman permainan inilah tempat kami beriadah dan bersuka ria. Dengan adanya taman permainan ini, kami boleh mengisi masa senggang kami dengan melakukan aktiviti yang berfaedah di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

          Saya berasa sangat gembira kerana dapat beriadah di taman permainan bersama-sama keluarga saya. Kami akan sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan taman permainan ini.

Saturday 31 August 2013

Catatan - Perkelahan

Ahad, 18 Ogos 2013

7.30 pagi
Saya dan keluarga bangun pada awal pagi. Saya dan adik membantu ibu menyediakan barang-barang seperti bekalan makanan, pakaian renang, pelampung, tikar dan payung besar. selepas bersiap sedia, kami pun bertolak ke Pantai Batu Buruk dengan menaiki kereta ayah.

9.00 pagi
Kami tiba di destinasi. Pemandangan di Pantai Batu Buruk indah nian dan angin bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai bagai mengalu-alukan kedatangan kami. Kami menghamparkan tikar di bawah sepohon pokok yang rendang lalu meletakkan barang-barang yang dibawa.

9.30 pagi
Saya dan adik menyalin pakaian renang lalu terjun ke dalam air. Air laut jernih dan dingin. Kami bermandi-manda dengan girang sekali bagai itik mendapat air. Ayah dan ibu pula rancak berbual-bual sambil mengawasi kami berdua.

10.45 pagi
Ibu memanggil saya dan adik naik ke darat untuk menjamu selera. Saya dan adik makan dengan gelojoh kerana lapar. Ayah dan ibu tertawa melihat gelagat kami yang mencuit hati.

11.30 pagi
Kami berjalan-jalan di sepanjang gigi air. Saya dan adik sibuk mencari umang-umang dan mengutip kulit siput. Kami bercadang untuk membuat kraf tangan dengan kulit siput yang kami kumpulkan. Kami juga berpeluang untuk menunggang kuda di tepi pantai dengan bayaran RM 5.00 sahaja. Alangkah seronoknya dapat menunggang kuda bersama-sama adik.

2.00 petang
Kami mengemas barang-barang lalu pulang ke rumah. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama-sama keluarga pada hari minggu. Kami akan berkunjung ke Pantai Batu Buruk lagi pada masa yang akan datang.

Monday 15 April 2013

Faedah Bergotong - royong

               Gotong - royong membawa maksud melakukan sesuatu kerja secara beramai-ramai tanpa menerima upah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan kampung, halaman rumah, kawasan sekolah dan membaiki jambatan.

               Amalan bergotong-royong boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita. Apabila kita menjalankan sesuatu aktiviti secara bergotong-royong, kerja yang berat akan ringan. Kita juga akan kurang berasa letih dan bosan.

               Di samping itu, kita boleh menjimatkan masa, tenaga dan wang. Hal ini demikian kerana aktiviti bergotong-royong dijalankan secara beramai-ramai tanpa upah. Dengan adanya kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, sesuatu aktiviti dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah.

               Selain itu, kita dapat memupuk persahabatan dan sifat setiakawan. Melalui aktiviti bergotong-royong, kita boleh berkenalan dengan jiran tetangga dan kawan-kawan baharu. Kita akan berpeluang untuk saling memahami dan tolong-menolong. Justeru, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat majmuk.

                 Dalam pada itu, kita boleh mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Melalui amalan ini, kita akan bekerjasama dan bermuafakat untuk mengatasi sesuatu masalah. Amalan ini dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Kata orang, "jiran sepakat membawa berkat".

                   Pendek kata, amalan yang mulia ini wajar dipupuk demi kesejahteraan bersama.
                

         

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...