Saturday 12 July 2014

Cara-cara Berjimat Cermat


              Sejak kecil lagi, kita dididik agar berjimat cermat. Hal ini demikian kerana amalan berjimat cermat boleh memberi banyak manfaat kepada kita. Kita boleh berjimat cermat  menerusi pelbagai cara.

              Antaranya, kita boleh berjimat cermat dalam perbelanjaan wang. Kita hendaklah bijak menguruskan wang kita dengan membeli barangan yang diperlukan sahaja. Wang yang selebihya boleh disimpan di dalam tabung ataupun di bank untuk bekalan masa hadapan bak kata pepatah Melayu, "sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit".

              Di samping itu, kita hendaklah berjimat cermat dalam penggunaan air dan elektrik. Misalnya, kita hendaklah memastikan saluran paip air dan tangki air di kawasan kediaman kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan tidak bocor. Pili paip hendaklah ditutup selepas menggunakannya.

    Air yang telah digunakan juga boleh dimanfaatkan dengan tujuan yang lain bagi mengelakkan pembaziran. Contohnya, air basuhan beras boleh digunakan untuk menyiram pokok bunga dan air basuhan pakaian pula boleh digunakan untuk mencuci lantai ataupun tandas. Kita juga hendaklah menutup suis lampu dan kipas selepas menggunakannya.  

    Selain itu, kita hendaklah menyahut seruan kerajaan yang menggalak semua lapisan masyarakat terutamanya di kawasan bandar agar berkongsi kenderaan ataupun menggunakan perkhidmatan kemudahan awam yang telah disediakan seperti kemudahan bas awam dan komuter bagi menjimatkan masa, wang dan petrol.

                Konklusinya, cara-cara berjimat cermat yang dinyatakan wajarlah dipraktikkan dalam kehidupan harian kita demi menjamin kesejahteraan hidup.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...