Monday 7 September 2015

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri.

Kita mestilah mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kita hendaklah membersihkan semua anggota badan dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan sabun dan air yang bersih. Kita juga mestilah mencuci rambut menggunakan syampu untuk mengelakkan rambut berkelemumur dan berkutu.

            Selepas mandi, kita mestilah memakai pakaian yang bersih. Pakaian yang kita pakai mestilah ditukar setiap hari. Pakaian yang kotor mesti dicuci. Kawan-kawan akan menjauhi kita jika kita kotor dan berbau busuk.

Selain itu, kita mestilah memotong kuku tangan dan kaki yang panjang. Hal ini demikian kerana kuman mudah membiak di celah-celah kuku tangan dan kaki yang panjang. Bukan itu sahaja, kita perlu menggosok gigi tiap-tiap hari. Kita juga hendaklah berkumur selepas makan agar sisa makanan tidak melekat di celah-celah gigi. Kita hendaklah membuat pemeriksaan gigi dua kali setahun untuk memastikan gigi kita sentiasa sihat dan kuat.

Di samping itu, kita mestilah menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Persekitaran tempat tinggal yang bersih mencerminkan imej dan personaliti kita. Orang yang bersih akan disenangi oleh orang lain. Justeru, kita perlu menanam tin-tin kosong, membersihkan longkang yang tersumbat dan memastikan sampah sarap dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelakkan pembiakan haiwan perosak.  Tikus dan lalat boleh membawa jangkitan penyakit kepada kita.

Pendek kata, kebersihan adalah asas kesihatan. Jika kita menjaga kebersihan diri, kita tidak akan mudah dijangkiti penyakit. Orang yang bersih dan sihat juga akan hidup ceria.




Sunday 6 September 2015

Suasana Temasya Sukan Sekolah Saya

          Pada hari Sabtu yang lepas, sekolah saya telah mengadakan temasya sukan tahunan yang ke-58 di padang sekolah.

          Sehari sebelum temasya sukan, semua warga sekolah sibuk membuat persiapan. Kami mendirikan kanopi di tepi padang, menghias pentas, menggantungkan panji yang berwarna-warni dan melukis garisan balapan di padang,  Kami melaksanakan tugas bagai aur dengan tebing.

          Pada hari tersebut, ibu bapa dan murid-murid berpusu-pusu ke sekolah. Semua murid memakai baju sukan rumah masing-masing. Pada pukul 8.00 pagi, upacara temasya sukan pun bermula.Pasukan pancaragam dan pasukan rumah-rumah sukan berarak masuk ke padang. Seterusnya, wakil muird melafazkan ikrar diikuti ucapan perasmian oleh Guru Besar.

          Selepas itu, acara sukan pun bermula. Acara pertama yang berlangsung ialah acara sukaneka untuk murid-murid Tahap Satu, iaitu lari dalam guni, isi air dalam botol, terompah gergasi dan lari bawa bola. Selepas itu, acara balapan dan acara padang diadakan. Contohnya lumba lari 100m, 200m, 400m, lari berganti-ganti, lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru. Acara yang paling kemuncak ialah acara tarik tali.

          Para peserta bertanding dengan bersungguh-sungguh dan menunjukkan semangat kesukanan yang kental. Ramai penyokong yang mengangkat sepanduk dan bersorak-sorai untuk memberi sokongan kepada pasukan rumah sukan masing-masing. Terdapat juga ibu bapa yang asyik merakamkan gambar anak-anak mereka yang beraksi di tengah padang. Suasana di padang meriah sekali.

          Kira-kira pada pukul 12.00 tengah hari, upacara penyampaian diadakan. Para pemenang dijemput naik ke atas podium oleh juruacara. Guru Besar mengalungkan pingat kepada pemenang dan mengucapkan tahniah kepada mereka. Olahragawan dan olahragawati pada temasya sukan kali ini ialah Bowie Lim dan Julia Ng. Pasukan Rumah Merah turut diumumkan sebagai johan keseluruhan. Semua ahli pasukan rumah Merah bersorak kegembiraan apabila ketua pasukan menjulang piala kemenangan.
 
          Temasya sukan sekolah saya telah berakhir pada pukul 1.30 petang. Suasana di sekolah saya kembali lengang.



         
          .

         

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...