Saturday 15 July 2017

Langkah-langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Kebelakangan ini, isu pencemaran alam sekitar hangat dibicarakan. Beberapa langkah boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.
Antaranya, ibu bapa perlu menjadi model contoh yang baik kepada anak-anak. Mereka hendaklah menerapkan nilai cinta akan alam sekitar dalam diri anak-anak. Misalnya, mempraktikkan amalan menggunakan beg kitar semula dan tong kitar semula dalam kehidupan harian.
Di samping itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan Kempen Sayangilah Alam Sekitar. Pelbagai aktiviti boleh diadakan sepanjang kempen ini seperti pertandingan melukis poster, mendeklamasi sajak, menulis esei dan ceramah. Ini dapat memupuk semangat mencintai alam sekitar dalam kalangan murid-murid.
Selain itu, pihak berkuasa mesti menguatkuasakan undang-undang. Pesalah mesti dikenakan hukuman yang setimpal agar tidak mengulangi perbuatan yang sama. Tindakan ini dapat memberi amaran kepada masyarakat agar tidak melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan persekitaran seperti membuang sampah ke dalam sungai, menebang hutan secara haram dan pembakaran terbuka.
Dalam pada itu, media massa seperti media cetak dan media elektronik turut memainkan peranan penting dalam usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Penyebaran informasi terkini tentang keadaan alam sekitar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.
Pendek kata, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani isu pencemaran demi mengecapi kehidupan yang bahagia dan sejahtera.

Wednesday 31 May 2017

Kebaikan Amalan Berbudi Bahasa


            Amalan berbudi bahasa merupakan suatu amalan yang perlu dipratikkan dalam kehidupan harian kita. Amalan ini boleh mendatangkan banyak kebaikan sekiranya diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.

            Amalan berbudi bahasa dapat mencerminkan keperibadian individu. Seseorang yang berbudi bahasa akan mudah didampingi dan disenangi oleh orang lain. Hal ini disebabkan orang yang berbudi bahasa akan sentiasa berlemah-lembut dan bersopan santun dalam pertuturan dan tingkah laku.

            Di samping itu, amalan berbudi bahasa dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Hal ini demikian kerana masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tanpa mengira taraf dan usia. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia hidup aman damai dan harmoni walaupun berlainan kaum, budaya dan kepercayaan.

            Selain itu, budaya berbudi bahasa dapat memajukan industri pelancongan negara. Masyarakat tempatan yang berbudi bahasa akan memberikan layanan yang mesra dan sopan kepada pelancong asing. Ini bukan sahaja dapat menarik kedatangan pelancong, malahan dapat meningkatkan ekonomi negara.

            Dalam pada itu, pemimpin negara yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara. Pemimpin dari negara lain akan berasa kagum dan menghormati negara kita. Negara kita juga akan terkenal di persada dunia sebagai negara yang bertamadun.

            Kesimpulannya, amalan berbudi bahasa bukan sahaja memanfaatkan individu, malahan membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, amalan ini perlu disemai sejak kecil lagi bak kata pepatah, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.


Kosa Kata

1.    dipratikkan =被实践

2.    mencerminkan = 反映

3.    didampingi = 被亲近

4.    kepercayaan = 信仰

5.    industri pelancongan = 旅游业

6.    imej = 形象

7.    persada dunia = 世界的平台

8.    bukan sahaja… malahan = 不但而且

Peribahasa

1.    melentur buluh, biarlah dari rebungnya = 好习惯要从小培养

Tuesday 2 May 2017

Ibu Saya

Ibu saya ialah wanita yang ayu. Beliau berkulit hitam manis dan berbadan sederhana. Nama ibu saya ialah Teu Shong Leng. Beliau berumur 45 tahun.
          Ibu saya seorang suri rumah yang ringan tulang. Setiap hari, beliau bangun pada awal pagi. Beliau rajin membuat kerja rumah. Misalnya mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak dan lain-lain lagi. Oleh itu, rumah kami sentiasa bersih dan kemas.
          Selain itu, ibu saya juga pandai memasak. Setiap hari, beliau akan menyediakan pelbagai hidangan yang enak untuk kami sekeluarga. Kata ibu, kita perlu makan makanan yang seimbang agar badan sihat dan otak cerdas.
          Ibu sangat mengambil berat tentang pelajaran saya. Beliau sering menemani saya membuat kerja sekolah dan menelaah pelajaran. Apabila saya menghadapi masalah dalam pelajaran, ibu akan mengajar saya sehingga saya benar-benar faham. Ibu sentiasa memberi dorongan kepada saya supaya tidak berputus asa.
          Ibu amat menyayangi saya. Apabila saya jatuh sakit, ibu sentiasa berada di sisi saya. Beliau memujuk saya makan ubat dan menjaga saya dengan sabar.
          Saya amat bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang mengasuh saya bagai menatang minyak yang penuh. Saya berdoa agar ibu saya panjang umur dan sihat selalu.

Cara-cara Menghargai Jasa dan Pengorbanan Guru

Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi masa depan anak murid. Sebagai seorang murid, kita sewajarnya menghargai jasa dan pengorbanan guru.
          Terdapat pelbagai cara untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru. Antaranya, kita hendaklah menumpukan perhatian semasa guru mengajar dan menyiapkan tugasan yang dipesan oleh guru. Perbuatan ini dapat menunjukkan kita memahami pelajaran yang diajar oleh guru.
          Di samping itu, kita mestilah mendengar nasihat dan teguran guru. Kita harus menjadikan nasihat guru sebagai pedoman hidup. Ini dapat menunjukkan bahawa kita menghormati dan menghargai guru.
          Seterusnya, kita mestilah belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kejayaan kita dalam bidang akademik dan kokurikulum merupakan cara yang paling baik untuk membalas jasa guru. Mereka pasti berbesar hati tatkala melihat kita berjaya.
          Selain itu, kita hendaklah meraikan sambutan Hari Guru bagi memperingati jasa dan pengorbanan guru. Kita boleh memberikan hadiah berupa kad ucapan, bunga dan cenderamata kepada guru sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka.
          Pendek kata, jasa dan pengorbanan guru amatlah besar dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia. Justeru, sayangilah dan hargailah guru kerana jasa dan pengorbanan mereka tidak mampu dibalas.

Friday 21 April 2017

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah


Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid di luar kelas selepas waktu persekolahan. Lazimnya, kegiatan kokurikulum dijalankan pada waktu petang.

Murid-murid diwajibkan menyertai tiga kategori kokurikulum di sekolah iaitu persatuan, kelab sukan dan persatuan beruniform. Selain pencapaian akademik, kokurikulum turut memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang berwibawa dan berperibadi mulia.

Antara kepentingan kegiatan kokurikulum ialah murid-murid tidak akan menjadi ulat buku. Sebaliknya, murid-murid boleh mengisi masa lapang untuk melakukan aktiviti lain yang turut membawa faedah. Misalnya, aktiviti sukan bukan sahaja dapat menyihatkan badan, malahan dapat mencungkil bakat murid-murid dalam bidang sukan. Murid-murid tidak akan terjerumus dalam kegiatan yang tidak sihat seperti berjudi, merokok dan melepak.

Di samping itu, murid-murid dapat menyemai nilai-nilai murni seperti berdikari, berdisiplin, bertanggungjawab dan hormat-menghormati apabila menyertai pasukan beruniform. Contohnya Persatuan Pengakap dan Persatuan Bulan Sabit Merah. Murid-murid juga dapat belajar ilmu yang tidak dapat dipelajari di dalam buku teks seperti cara-cara membalut luka, mendirikan khemah dan menggunakan kompas.

Selain itu, murid-murid dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang berlainan bangsa dan agama. Murid-murid akan berpeluang untuk saling memahami dan menghormati semasa melaksanakan tugasan. Ini dapat memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan murid-murid.

Pendek kata, kegiatan kokurikulum boleh mendatangkan banyak manfaat kepada murid-murid. Jadilah seorang murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Kosa kata:
lazimnya = biasanya  通常/一般
mulia = terpuji  受赞扬
ulat buku = suka membaca  书虫
terjerumus = terjebak  陷入
manfaat = kebaikan  好处

Tuesday 28 March 2017

Permainan Tradisional yang Saya Minati

Permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh nenek moyang kita sejak zaman dahulu lagi. Misalnya congkak, gasing, batu seremban, wau dan sepak raga.
Permainan tradisional yang paling saya minati ialah permainan wau. Permainan ini boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Permainan ini hanya boleh dimainkan di kawasan yang lapang dan berangin seperti di tepi pantai.
Dua orang  diperlukan untuk bermain wau. Seorang menjadi juruanjung yang memegang wau manakala seorang pula menjadi jurutarik yang memegang tali. Saya sering bermain wau dengan atuk saya. Atuklah yang mengajar saya teknik-teknik menghulur dan menarik tali supaya wau saya boleh melayang tinggi.
Atuk saya mahir menghasilkan wau yang asli dan unik. Beliau pernah menghadiahi saya wau bulan yang cantik pada hari jadi saya. Kata atuk, wau juga boleh dijadikan kraf tangan dan hiasan dinding.
Permainan wau banyak memberikan faedah kepada saya. Permainan ini boleh mengisi masa lapang  saya dengan  berfaedah. Saya juga dapat menghilangkan stress setelah penat belajar. Selain memberi hiburan, permainan ini dapat memupuk semangat muhibah dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Saya berasa bangga kerana dapat mewarisi permainan tradisional ini daripada atuk. Saya akan memperkenalkan permainan ini kepada kawan-kawan saya pada suatu hari nanti.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...