Friday, 6 July 2012

Perhimpunan di Sekolah Saya



                        Nama saya Lee Hong. Saya menuntut di SJK ( C ) Chung Hwa. Sekolah saya mengadakan perhimpunan di dewan pada setiap hari Isnin.
                        Apabila loceng sekolah berbunyi, murid-murid beratur ke dewan dengan tertib. Semua warga dewan berdiri tegak untuk menyanyikan lagu “Negaraku”, lagu negeri dan lagu sekolah. Tiga orang pengawas ditugaskan untuk menaikkan bendera di tepi pentas. Kami menyanyi dengan kuat dan penuh semangat patriotik.
                        Seterusnya, Guru Besar menyampaikan ucapan di atas pentas. Guru Besar mengingatkan murid-murid agar membuat persiapan awal bagi menghadapi peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi. Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Beliau juga menasihati murid-murid agar menjaga kebersihan kawasan sekolah supaya dapat belajar dengan selesa. Semua murid memasang telinga untuk mendengar amanat beliau.
                        Selepas itu, juruacara mengumumkan keputusan pertandingan kebersihan antara kelas. Kelas yang terbersih pada minggu lepas ialah kelas 5A. Guru besar menyampaikan sijil dan piala kepada ketua kelas tersebut.
                        Kemudian, murid-murid dari kelas 6B mengadakan persembahan di atas pentas. Persembahan mereka amat menarik dan menghiburkan hati kami.
                        Perhimpunan tamat pada pukul 8.15 pagi. Murid-murid pun beratur pulang ke kelas masing-masing untuk meneruskan pembelajaran.
                        

Hobi Saya




 Semua orang mempunyai hobi. Begitu juga dengan saya. Hobi saya ialah menunggang basikal.
            Saya suka menunggang basikal sejak berumur lima tahun lagi. Pada hari jadi saya, ibu bapa telah menghadiahi saya sebuah basikal BMX. Setiap petang, bapa mengajar saya menunggang basikal di padang yang luas.
            Pada mulanya, saya asyik terjatuh dari basikal. Namun, saya tidak berputus asa. Ibu bapa juga mendorong saya supaya mencuba lagi. Selepas beberapa minggu, saya pun pandai menunggang basikal.
            Pada masa lapang, saya akan menunggang basikal di taman rekreasi bersama-sama kawan saya. Kadang kala, saya berbasikal ke sekolah. Hobi ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang saya malahan dapat menyihatkan badan saya. Oleh itu, badan saya cergas dan otak saya cerdas.
            Pada setiap hari minggu, saya akan mencuci basikal saya dengan air sabun. Saya juga menggilap basikal saya sehingga berkilat-kilat. Pada waktu malam, saya akan mengunci basikal saya di garaj kereta agar tidak dicuri orang. Saya sangat sayang akan basikal saya.
            Saya berasa gembira kerana mempunyai hobi yang baik. Saya berharap agar hobi saya akan berterusan sehingga saya dewasa.

Thursday, 5 July 2012

Jika Saya Seorang Jutawan

                        Setiap orang mempunyai impian. Begitu juga dengan saya. Impian saya adalah menjadi seorang jutawan.
                        Jika saya seorang jutawan, saya akan membeli sebidang tanah yang luas dan memiliki pemandangan yang indah nian. Udara di persekitarannya hendaklah nyaman. Saya akan  membina sebuah vila di sana dan menjemput semua ahli keluarga untuk tinggal bersama-sama. Saya juga akan membeli beberapa buah kereta mewah yang saya idam-idamkan.
                        Di samping itu, saya akan membina sekolah dan hospital di kawasan pedalaman. Dengan adanya sekolah, penduduk di kawasan pedalaman yang buta huruf akan berpeluang untuk menimba ilmu. Mereka juga boleh mendapatkan rawatan yang terbaik dan percuma di hospital yang saya bina. 
             Selain itu, saya akan menabung di bank. Saya juga akan mendermakan sebahagian daripada wang saya kepada pusat-pusat kebajikan seperti rumah anak-anak yatim, rumah orang tua dan rumah orang cacat. Saya hendak membantu orang yang bernasib malang dan memerlukan bantuan.
                        Bukan itu sahaja, saya akan membawa ibu bapa saya menjelajah ke seluruh dunia untuk melihat kebudayaan dan kesenian bangsa-bangsa yang lain. Saya teringin untuk menjejak kaki ke Negara Eropah yang sering menjadi buah mulut orang ramai. Saya akan mendalami pengetahuan dalam lapangan seni muzik yang saya minati.   
                        Saya sedar bahawa bukan senang untuk merealisasikan impian saya. Oleh itu, saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin, impian saya akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Bunyi-bunyi Binatang


menyalak





meringkik





mengeboh





mengembek





mengiau





menguak





mendesis





menguek




mendecit





mengerih





berkokok





berkicau


Friday, 30 September 2011

Pengalaman Bercuti di Perkampungan Nelayan

Cuti sekolah telah pun bermula. Saya mengikut kawan karib saya, Din pulang ke kampungnya untuk menghabiskan masa cuti sekolah selama satu minggu. Kampung Din terletak di Rompin, Pahang. Kami menaiki teksi ke sana.

          Perjalanan ke sana dari pusat bandar Kuantan mengambil masa kira-kira dua jam. Rumah datuk Din terletak di persisiran pantai. Apabila teksi meluncur ke pekarangan rumah datuk Din, kelihatan datuk dan nenek Din telah menunggu kedatangan kami di beranda rumah. Mereka menyambut ketibaan kami dengan gembira.

          Kampung Din merupakan sebuah perkampungan nelayan. Kebanyakan peduduk di sana bekerja sebagai nelayan. Pemandangan di sana indah nian dan udaranya nyaman. Sebelum fajar menyinsing, saya dan Din telah bangun daripada tidur. Kami makan nasi lemak yang disediakan oleh nenek Din sebagai alas perut. Selepas itu, kami pun mengikut datuk Din turun ke laut untuk menangkap ikan.

          Inilah kali pertama saya menaiki bot nelayan ke tengah laut. Bot kami terumbang-ambing dipukul ombak apabila laut bergelora. Saya berasa loya dan pening-pening lalat. Apabila bot kami sampai di tengah laut, saya dan Din membantu datuknya melepaskan pukat untuk menangkap ikan. Setelah berjam-jam di tengah laut, kami berjaya mendapat hasil laut yang lumayan. Saya dan Din pun membahagikan hasil tangkapan kami ke dalam raga yang disediakan.

          Setibanya di jeti, kami memunggah raga yang dipenuhi hasil laut untuk dijual kepada peraih. Selepas makan tengah hari, saya dan Din menolong neneknya menyiang ikan yang tidak habis dijual. Saya tidak tahan dengan bau ikan yang hanyir. Ikan-ikan yang telah disiang dijemur di bawah sinaran matahari yang terik untuk dijadikan ikan kering.

          Pada waktu senja, saya dan Din bermandi-manda di laut. Air laut jernih dan dingin. Bayu laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa sungguh menyegarkan. Hati saya girang bukan kepalang. Saya juga berpeluang untuk belajar cara-cara untuk menyirat jala daripada datuk Din.

          Kehidupan datuk dan nenek Din di kampung sederhana tetapi bahagia. Saya berasa seronok kerana dapat merasai kehidupan di perkampungan nelayan. Memori manis ini akan terpahat dalam ingatan saya buat selama-lamanya.

Thursday, 8 September 2011

Kegunaan Pokok Kelapa

Pokok kelapa atau dikenali sebagai pokok nyiur merupakan sejenis tumbuhan yang hidup subur di kawasan persisiran pantai. Tumbuhan ini juga banyak terdapat di desa dan di luar bandar.

          Pokok kelapa mempunyai banyak kegunaan kepada kita. Hampir setiap bahagian tumbuhan ini boleh digunakan. Oleh itu, pokok kelapa juga digelar pokok seribu guna.

          Isi buah kelapa muda boleh dimakan begitu sahaja ataupun dibuat kuih-muih dan biskut. Air kelapa pula enak diminum bagi menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan terutamanya pada hari panas. Bukan itu sahaja, isi buah kelapa tua yang telah diparut boleh diperah menjadi santan. Santan digunakan untuk memasak kari dan nasi lemak. Isi buah kelapa juga boleh diproses menjadi minyak, sabun dan marjerin.

          Selain itu, batang pokok kelapa yang panjang dan keras sesuai untuk dijadikan titi untuk menyeberangi sungai ataupun parit. Sabut kelapa pula boleh dibuat tali, berus dan bahan api. Tempurung kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan cenderamata dan barang hiasan yang cantik. Contohnya, tabung syiling, rantai kunci dan sebagainya.

          Di samping itu, daun pokok kelapa boleh dijadikan atap dan dibuat sarung ketupat. Lidinya pula boleh dijadikan pencucuk sate atau diikat untuk dijadikan penyapu lidi. Penyapu lidi sesuai digunakan untuk menyapu dedaun kering di halaman rumah.

          Pendek kata, pokok kelapa sangat berguna kepada kita. Oleh itu, kita sewajarnya menghargai tumbuhan ini dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

Saturday, 20 August 2011

Suasana di Tepi Pantai

Esok bermulalah cuti sekolah bagi semester yang pertama. ayah bercadang membawa kami sekeluarga ke Pantai  Batu Buruk untuk berkelah. Setelah mendengar cadangan ayah, saya dan adik melonjak-lonjak kegembiraan.
          Sebelum bertolak, saya menolong ibu menyediakan barang-barang seperti tikar, pakaian mandi, radio, kamera digital dan bekalan makanan. Setelah bersiap-siap, kami bertolak ke sana dengan menaiki kereta ayah.
          kira-kira 15 minit kemudian, kami pun sampai di destinasi. Saya dan adik membantu ayah menurunkan barang-barang dari but kereta. Kemudian, kami mencari tempat yang sesuai untuk berkelah. Kami telah menghamparkan tikar di bawah sepohon pokok ru yang rendang dan meletakkan barang-barang di atas tikar.
          Suasana di Pantai Batu Buruk amat meriah. Ramai orang berkunjung ke sana untuk menghabiskan masa terluang. Pemandangan di tepi pantai indah nian. Bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun pohon nyiur melambai-lambai persis mengalu-alukan kedatangan kami.
          Saya dan adik tidak sabar-sabar hendak bermandi-manda di laut yang membiru. Setelah menyalin pakaian, kami pun terjun ke laut. Air laut begitu jernih dan dingin rasanya. Sesekali laut bergelora, kami terumbang-ambing dipukul ombak. Kegembiraan jelas terpapar melalui gelak ketawa kami berdua.
          Setelah puas bermain, saya dan adik pun naik ke darat. Ayah masih leka membaca majalah kegemarannya sejak tadi lagi. Ibu pula menghidangkan makanan untuk kami. Nasi minyak yang dimasak oleh ibu begitu enak dan membuka selera. Saya dan adik menghabiskan nasi sehingga menjilat jari. 
          Selepas menjamu selera, saya mengajak adik membina istana pasir. Ayah dan ibu pula mengambil angin di gigi air. Kami sempat menangkap gambar ketika matahari mula terbenam untuk dijadikan kenangan. Kata ayah, inilah saat-saat yang paling indah.
          Sebelum pulang, kami membersihkan kawasan perkelahan. Saya dan adik berasa berat hati untuk meninggalkan pantai ini. Memori manis di Pantai Batu Buruk tetap terpahat dalam sanubari kami.

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...