Pada hari Sabtu yang lepas, sekolah saya telah mengadakan temasya sukan tahunan yang ke-58 di padang sekolah.
Sehari sebelum temasya sukan, semua warga sekolah sibuk membuat persiapan. Kami mendirikan kanopi di tepi padang, menghias pentas, menggantungkan panji yang berwarna-warni dan melukis garisan balapan di padang, Kami melaksanakan tugas bagai aur dengan tebing.
Pada hari tersebut, ibu bapa dan murid-murid berpusu-pusu ke sekolah. Semua murid memakai baju sukan rumah masing-masing. Pada pukul 8.00 pagi, upacara temasya sukan pun bermula.Pasukan pancaragam dan pasukan rumah-rumah sukan berarak masuk ke padang. Seterusnya, wakil muird melafazkan ikrar diikuti ucapan perasmian oleh Guru Besar.
Selepas itu, acara sukan pun bermula. Acara pertama yang berlangsung ialah acara sukaneka untuk murid-murid Tahap Satu, iaitu lari dalam guni, isi air dalam botol, terompah gergasi dan lari bawa bola. Selepas itu, acara balapan dan acara padang diadakan. Contohnya lumba lari 100m, 200m, 400m, lari berganti-ganti, lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru. Acara yang paling kemuncak ialah acara tarik tali.
Para peserta bertanding dengan bersungguh-sungguh dan menunjukkan semangat kesukanan yang kental. Ramai penyokong yang mengangkat sepanduk dan bersorak-sorai untuk memberi sokongan kepada pasukan rumah sukan masing-masing. Terdapat juga ibu bapa yang asyik merakamkan gambar anak-anak mereka yang beraksi di tengah padang. Suasana di padang meriah sekali.
Kira-kira pada pukul 12.00 tengah hari, upacara penyampaian diadakan. Para pemenang dijemput naik ke atas podium oleh juruacara. Guru Besar mengalungkan pingat kepada pemenang dan mengucapkan tahniah kepada mereka. Olahragawan dan olahragawati pada temasya sukan kali ini ialah Bowie Lim dan Julia Ng. Pasukan Rumah Merah turut diumumkan sebagai johan keseluruhan. Semua ahli pasukan rumah Merah bersorak kegembiraan apabila ketua pasukan menjulang piala kemenangan.
Temasya sukan sekolah saya telah berakhir pada pukul 1.30 petang. Suasana di sekolah saya kembali lengang.
.
Sunday, 6 September 2015
Monday, 24 August 2015
Hari Kantin Sekolah Saya
Pada hari minggu yang lalu, sekolah saya telah mengadakan Hari Kantin. Tujuan Hari Kantin diadakan adalah untuk mengumpul duit bagi membeli komputer baharu dan bahan bacaan perpustakaan. Aktiviti ini melibatkan semua guru dan murid-murid tahun enam.
Pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di kantin. Guru Penolong Kanan, Puan Khoo memberikan taklimat ringkas kepada murid-murid. Kemudian, beliau membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas.
Kumpulan A menghias gerai-gerai dengan belon dan reben dengan beraneka warna. Kumpulan B menyusun barang-barang jualan di setiap gerai dengan kemas. Kumpulan C pula membantu guru menyediakan kupon untuk dijual kepada para pengunjung. Semua murid melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh bagai aur dengan tebing.
Kira-kira pada pukul 9.00 pagi, pengunjung berpusu-pusu ke sekolah. Kami melayan para pengunjung dengan mesra dan berbudi bahasa. Ada murid yang memperkenalkan barang jualan kepada pengunjung dan ada juga murid yang menarik perhatian pengunjung dengan promosi "Beli Satu Percuma Satu" dan cabutan bertuah. Suasana di kantin sekolah meriah sekali.
Pada pukul 1.00 petang. Hari Kantin telah berakhir. kami pun mengemas barang-barang dan membersihkan kawasan kantin. Hari Kantin mendapat sambutan yang hangat daripada ibu bapa dan murid-murid. Semua barang jualan kami telah habis dijual.
Guru Besar sangat berbesar hati kerana Hari Kantin berjalan dengan lancar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah yang menjayakan aktiviti ini. Kami berasa letih tetapi gembira kerana boleh menyumbang tenaga kepada pihak sekolah.
Sunday, 23 August 2015
Perpustakaan Sekolah Saya
Nama saya Aisyah Najihah. Saya belajar di SJK (C) Chung
Hwa Wei Sin. Di sekolah saya ada sebuah perpustakaan yang besar dan bersih.
Perpustakaan
sekolah saya terletak di blok A. Di perpustakaan sekolah saya terdapat pelbagai
kemudahan seperti meja, kerusi, sofa, komputer, mesin pencetak dan alat
penghawa dingin.
Di dalam
perpustakaan terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris dan Bahasa Cina. Contohnya buku cerita, buku rujukan, novel, komik,
surat khabar, kamus dan banyak lagi. Semua bahan bacaan disusun di atas rak
buku dengan rapi.
Pada waktu
rehat, murid-murid akan berkunjung ke perpustakaan. Murid-murid boleh membaca
buku dan meminjam buku kesukaan mereka di perpustakaan. Murid-murid mesti
senyap semasa berada di dalam perpustakaan.
Setiap hari,
pustakawan akan bertugas di dalam perpustakaan. Pustakawan bertanggungjawab
untuk merekodkan buku yang dipinjam oleh murid-murid dan mengemas buku-buku di
dalam perpustakaan. Murid-murid yang
melanggar peraturan perpustakaan akan didenda.
Perpustakaan
ialah gedung ilmu. Saya berharap semua murid akan menghargai kemudahan di dalam
perpustakaan dan menggunakannya dengan baik.
Cita – cita Saya
Setiap
orang mempunyai cita-cita. Begitu juga dengan saya. Cita-cita saya ialah
menjadi seorang doktor gigi.
Saya
bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi sejak berumur lima tahun lagi.
Saya masih ingat peristiwa yang berlaku ketika saya belajar di tadika. Pada suatu hari, saya menangis kerana sakit gigi. Ayah pun
membawa saya ke klinik gigi untuk membuat pemeriksaan.
Rupa-rupanya,
gigi saya telah rosak akibat suka makan gula-gula dan tidak menjaga gigi dengan
baik. Akhirnya, gigi yang rosak itu telah dicabut oleh doktor gigi. Doktor
menasihati saya supaya mengurangkan pengambilan makanan yang manis dan
menggosok gigi dengan cara yang betul.
Semenjak
hari itu, saya mengikut nasihat doktor. Saya menjaga gigi saya dengan baik
supaya gigi saya sentiasa bersih dan kuat. Saya berazam untuk menjadi seorang doktor
gigi yang bertanggungjawab. Saya akan memeriksa gigi pesakit dengan teliti dan
memberikan rawatan yang terbaik kepada mereka.
Di
samping itu, saya akan menyalurkan informasi tentang cara-cara penjagaan gigi yang
betul kepada semua lapisan masyarakat. Saya akan memberi perkhidmatan kepada
penduduk di kawasan pendalaman dan mendedahkan kepentingan menjaga kesihatan
gigi kepada mereka agar semua penduduk dapat hidup sihat dan ceria.
Saya
sedar bahawa untuk mencapai cita-cita saya bukanlah suatu perkara yang mudah.
Sehubungan itu, saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan
impian saya. Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Saya yakin
dengan berkat usaha saya, cita-cita saya pasti menjadi kenyataan.
Sunday, 16 August 2015
Aku Sebuah Basikal
Aku ialah sebuah basikal. Namaku BMX. Aku diperbuat daripada
besi dan keluli yang berkualiti. Badanku berwarna merah dan hitam. Aku dilahirkan
di sebuah kilang yang terletak di Selangor.
Setelah
dilahirkan, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah kedai basikal di Kuantan. Pekedai itu
mempamerkan kami di hadapan kedai. Setiap hari, ramai orang lalu-lalang di
kedai itu.
Pada suatu
hari, seorang lelaki dan anaknya singgah di kedai basikal. Mereka tertarik
dengan kecantikan aku. Selepas tawar-menawar hargaku dengan pekedai itu, mereka
pun membeli aku dengan harga RM 450.00 lalu membawa aku pulang ke rumah. Hatiku girang
sekali kerana telah bertuan.
Tuan
aku bernama Fazli. Dia ialah murid tahun lima. Setiap hari, tuan mengayuh aku
ke sekolah. Pada sebelah petang, dia mengayuh aku ke taman permainan
bersama-sama kawannya. Tuan sentiasa mengayuh basikal dengan cermat.
Pada
hari minggu, tuan akan mencuci badan aku dengan air sabun. Selepas itu, dia
menggilap badanku sehingga berkilat-kilat. Kawan-kawan tuan sering memuji
kecantikanku. Pada sebelah malam, tuan akan mengunci aku di dalam garaj kereta
agar tidak dicuri orang.
Aku sangat
berbesar hati kerana diriku dihargai. Aku akan berbakti kepada tuan aku
sehingga akhir hayatku.
Faedah Berkebun
Berkebun merupakan salah satu
aktiviti yang baik. Hal ini demikian kerana berkebun boleh membawa banyak
manfaat kepada kita.
Dewasa ini, semua lapisan masyarakat
digalakkan berkebun. Kita boleh berkebun di kawasan yang sesuai contohnya di halaman
rumah ataupun di belakang rumah. Aktiviti berkebun boleh mengisi masa terluang
kita dengan berfaedah.
Semasa berkebun, kita boleh mengurangkan tekanan dan
perasaan bosan. Kita juga tidak akan terjerumus dalam gejala sosial yang tidak
sihat seperti merokok, melepak, berjudi dan menagih dadah.
Di samping itu, kita boleh menjadi
insan yang berguna dan berbudi kepada tanah. Dengan berkebun, kawasan lapang
atau tanah terbiar boleh digunakan dengan sebaik-baiknya. Pokok bunga yang berwarna-warni
juga boleh menceriakan kawasan
persekitaran.
Apatah lagi, kita boleh mengeratkan
hubungan silaturahim. Hal ini disebabkan kita boleh melakukan aktiviti berkebun
bersama-sama ahli keluarga dan sahabat handai kita. Semasa berkebun, kita akan
berpeluang untuk berkomunikasi dan bekerja bersama-sama bagai aur dengan
tebing. Kita bukan sahaja dapat saling memahami, tetapi juga dapat berkenalan
dengan lebih ramai kawan yang berbilang bangsa dan agama.
Selain itu, kita boleh meningkatkan
ekonomi negara. Hal ini demikian kerana hasil tanaman kita boleh dijual bagi
menambahkan pendapatan keluarga. Kita juga boleh menceburi bidang pertanian
sebagai salah satu mata pencarian sekiranya berminat dalam kegiatan berkebun.
Konklusifnya, aktiviti berkebun
banyak mendatangkan faedah kepada semua lapisan masyarakat. Wahai kawan-kawan,
marilah kita berkebun bersama-sama!
Kemalangan Jalan Raya
Pada suatu petang, saya berjalan kaki
pulang dari sekolah selepas tamat latihan badminton.
Tiba-tiba, saya
terdengar satu bunyi dentuman yang
kuat. Alangkah terkejutnya, saya melihat sebuah kereta Proton Waja telah
berlanggar dengan sebuah motosikal di hadapan sekolah.
Tanpa berlengah-lengah,
saya pun berlari ke pondok telefon awam yang berdekatan untuk menghubungi pihak polis dan hospital.
Banyak orang mengerumuni tempat kejadian itu.
Penunggang dan pembonceng
motosikal itu cedera parah. Mereka meniarap di tengah jalan. Badan mereka berlumuran darah. Pemandu kereta pula cedera ringan. Dia mengerang kesakitan sambil meminta tolong. Bahagian hadapan kereta
itu telah remuk dan cermin kereta pecah berkecai. Beberapa orang pemuda
yang baik hati telah membantu pemandu kereta itu keluar dari keretanya.
Tidak lama kemudian, kereta ambulans dan kereta polis pun
sampai di tempat kejadian. Anggota polis segera mengawal kesesakan lalu-lintas manakala anggota penyelamat pula mengusung
mangsa kemalangan itu ke dalam kereta ambulans.
Selepas itu,
orang ramai pun bersurai. Saya
segera meneruskan perjalanan untuk
pulang ke rumah. Saya akan berhati-hati semasa berada di jalan raya kerana malang tidak berbau.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Mata Pelajaran Kegemaran Saya
Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu. Baha...
-
Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri. Kita mestilah mandi sekurang-kurang...
-
Pada cuti sekolah yang lalu, ayah telah membawa kami sekeluarga pergi berkelah di Air Terjun Sekayu. Sebelum bertolak, kami telah menyediaka...
-
Pada hari minggu yang lepas, saya telah mengikut ibu ke pasar yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Saya dan ibu berjalan kaki...