Monday, 23 March 2015

Banjir di Kampung Saya

Hujan lebat turun tidak berhenti-henti selama beberapa hari di kampung saya. Air sungai di hujung kampung mulai melimpah. Akhirnya, kampung saya telah dilanda banjir.

            Penghuni-penghuni kampung dinasihati supaya berpindah ke tempat yang selamat. Kami sibuk memindahkan barang-barang yang penting dan berharga ke tempat yang tinggi. Selepas itu, bot-bot penyelamat pun membawa kami meninggalkan tempat kediaman kami. Kami telah ditempatkan di balai raya.

            Air bah telah memusnahkan tanam-tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung. Banyak binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing dan lembu yang mati lemas. Peralatan-peralatan rumah yang tidak sempat dipindahkan turut musnah dibawa arus deras.

            Di balai raya, semua mangsa banjir  mendapat bantuan dari segi pakaian, makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan harian. Banyak warga emas dan kanak-kanak yang jatuh sakit akibat bencana ini. Saya dan kawan-kawan yang lain juga tidak dapat bersekolah selama beberapa hari.

            Selepas beberapa hari, air bah mulai surut, kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Kami berasa amat sedih melihat keadaan rumah kami yang kotor dan berlumpur. Kami  terpaksa bergotong-royong untuk membersihkan  tempat kediaman kami.

Saya berharap agar tragedi  ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.


            

Sunday, 22 March 2015

Laporan - Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Biskut Julie

Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Biskut Julie
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin

                Pada  20 Mac 2019, Persatuan Bahasa Malaysia SJK (C) Chung Hwa Wei Sin telah mengadakan lawatan ke Kilang Biskut Julie yang terletak di Alor Gajah, Melaka.
               
                Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahkan kepada murid-murid tentang  cara-cara membuat biskut. Lawatan ini telah disertai oleh 25 orang murid dan diiringi oleh 2 orang guru penasihat, Cikgu Sunita dan Cikgu Farlina.

               Rombongan kami tiba di pekarangan kilang pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan kami telah disambut mesra oleh penyelia kilang, Encik Kho. Beliau memberikan  taklimat ringkas tentang peraturan kilang sebelum membawa kami melawat ke dalam kilang tersebut.

              Encik Kho memberi penerangan kepada kami tentang setiap proses untuk menghasilkan biskut Julie. Kami memasang telinga untuk mendengar penerangan beliau sambil membuat catatan pada buku nota masing-masing.

                 Kami telah berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat dari proses pengadunan sehinggalah proses pembungkusan biskut. Kami juga dijamu dengan biskut yang enak dan ranggup. Sebelum beredar, kami berkesempatan untuk membeli biskut yang baru siap dibungkus dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

                Lawatan pada kali ini telah memanfaatkan semua murid. Kami berharap agar lawatan seperti ini akan diadakan lagi pada masa hadapan. Sekian, terima kasih.



Yang benar,                                                                      22 MAC 2015.                                                                 
       Lina
_______________
( LINA TAN )
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Malaysia,
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin.



Saturday, 21 March 2015

Kebaikan Menabung

            Amalan menabung merupakan satu amalan yang mulia. Menabung membawa maksud menyimpan wang di bank atau di dalam tabung.
                                                                                     
            Amalan suka menabung boleh melatih kita supaya berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian dengan membeli barang-barang yang penting dan berguna sahaja. Wang yang selebihnya akan disimpan di dalam tabung atau di bank.

Selain itu, wang yang disimpan di bank akan memberi kadar faedah kepada kita. Wang simpanan kita akan bertambah sedikit demi sedikit. Bak kata pepatah, “sikit-sikit lama-lama menjadi bukit”.

Di samping itu, wang simpanan kita boleh digunakan untuk masa hadapan kita. Kita boleh menggunakan wang simpanan kita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Kita bukan sahaja dapat berdikari, malahan dapat meringankan beban orang tua kita.

Apabila berlaku kecemasan, kita tidak perlu meminjam wang daripada sahabat handai ataupun lintah darat. Sebaliknya, kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih cepat dan mudah.

Pendek kata, amalan menabung memberi banyak faedah kepada kita. Amalan yang terpuji dan mulia ini patut kita amalkan sejak kecil lagi.


Friday, 20 March 2015

Faedah Berkebun


Berkebun merupakan salah satu aktiviti yang baik. Hal ini demikian kerana berkebun boleh membawa banyak manfaat kepada kita.

Dewasa ini, semua lapisan masyarakat digalakkan berkebun. Kita boleh berkebun di kawasan yang sesuai contohnya di halaman rumah ataupun di belakang rumah. Aktiviti berkebun boleh mengisi masa terluang kita dengan berfaedah. Semasa berkebun, kita boleh mengurangkan tekanan dan perasaan bosan. Kita juga tidak akan terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti merokok, melepak, berjudi dan menagih dadah.

Di samping itu, kita boleh menjadi insan yang berguna dan berbudi kepada tanah. Dengan berkebun, kawasan lapang atau tanah terbiar boleh digunakan dengan sebaik-baiknya. Pokok bunga yang berwarna-warni juga  boleh menceriakan kawasan persekitaran.

Apatah lagi, kita boleh mengeratkan hubungan silaturahim. Hal ini disebabkan kita boleh melakukan aktiviti berkebun bersama-sama ahli keluarga dan sahabat handai kita. Semasa berkebun, kita akan berpeluang untuk berkomunikasi dan bekerja bersama-sama bagai aur dengan tebing. Kita bukan sahaja dapat saling memahami, tetapi juga dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan yang berbilang bangsa dan agama.

Selain itu, kita boleh meningkatkan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana hasil tanaman kita boleh dijual bagi menambahkan pendapatan keluarga. Kita juga boleh menceburi bidang pertanian sebagai salah satu mata pencarian sekiranya berminat dalam kegiatan berkebun.


Konklusinya, aktiviti berkebun banyak mendatangkan faedah kepada semua lapisan masyarakat. Wahai kawan-kawan, marilah kita berkebun bersama-sama!

Hobi Saya

                        Setiap orang mempunyai hobi. Begitu juga dengan saya. Hobi saya ialah menanam pokok bunga.

                        Saya suka menanam pokok bunga sejak berumur lapan tahun lagi. Saya sering melihat ibu saya menanam pokok bunga di halaman rumah. Ibu saya seorang penggemar flora. Beliau banyak mengajar saya cara-cara untuk menanam dan menjaga pokok bunga.

                        Peralatan yang diperlukan untuk menanam pokok bunga ialah kulir, tanah gambut, sarung tangan, pasu bunga dan anak pokok. Pada masa lapang, saya akan menanam pokok bunga di halaman rumah. Saya telah menanam pelbagai jenis pokok bunga yang cantik seperti bunga mawar, bunga melur, bunga orkid, pokok kaktus dan banyak lagi.

                        Setiap waktu senja, saya akan menyiram pokok bunga saya. Saya juga mencantas pokok bunga saya supaya kelihatan rapi dan cantik. Saya berasa gembira tatkala melihat pokok bunga saya hidup subur.

                        Aktiviti menanam pokok bunga dapat mengisi masa senggang saya dengan berfaedah. Aktiviti ini juga dapat menambahkan pengetahuan saya tentang tumbuh-tumbuhan di samping  mengindahkan persekitaran rumah saya.

                        Hobi ini merupakan satu hobi yang baik dan banyak mendatangkan manfaat kepada saya. Saya akan mengamalkan hobi ini sehingga saya dewasa.

Wednesday, 22 October 2014

Kepentingan Mengamalkan Pemakanan Seimbang


            Makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Dewasa ini, media masa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel dalam usaha menyalurkan informasi kesihatan kepada masyarakat.

            Sejak kecil lagi, kita dididik agar mengambil makanan yang seimbang. Makanan seimbang yang mengandungi protein, karbohidrat, kalsium, garam mineral dan vitamin amat diperlukan untuk tumbesaran dan membina tubuh badan yang kuat. Tubuh yang sihat dan cergas akan memberi semangat kepada kita untuk melaksanakan tugas harian dengan lebih baik dan sempurna.

            Justeru, tubuh badan kita akan lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit dan tidak mudah jatuh sakit. Kita dapat menghindari penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Pepatah juga ada mengatakan,”Diri anda ialah apa yang anda makan”. Kenyataan ini jelas benar dalam soal kesihatan.

            Dalam pada itu, pemakanan seimbang memberi kesan dalam perkembangan mental dan personaliti kita. Seseorang yang seimbang dalam aspek pemakanan akan kelihatan sihat, cerdas dan mempunyai produktiviti yang tinggi dalam pekerjaan. Kita tidak akan mudah berasa letih, sebaliknya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan lebih efektif. Sudah tentu syarikat gergasi tidak akan mengambil calon yang sering sakit dan mempunyai masalah kesihatan sebagai pekerja mereka.

            Sesungguhnya, pemakanan seimbang penting untuk mengawal kadar obesiti. Kita hanya perlu mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Menurut sumber Berita Harian,  4 daripada 10 orang dewasa yang melebihi 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau lebih berat badan (obesiti). Sehubungan itu, pengambilan makanan seimbang akan menjadikan tubuh badan kita tidak terlalu gemuk dan mudah menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Masalah obesiti juga dapat diatasi.

            Konklusifnya, kita perlu mengambil makanan seimbang demi kesihatan dan kesejahteraan hidup kita. Pemakanan yang baik ini bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada individu, malah masyarakat dan negara. “ Tepuk dada tanya selera”.

 

 

                                                                                                                             

Monday, 1 September 2014

Tidak lama lagi anda akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Tulis sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan bagaimana persiapan anda menghadapi UPSR tahun ini.


                                                                          No. 38, Lorong IM 5/8,
                                                                                  25200 Kuantan,
                                                                                  Pahang Darul Makmur.
                                                                          25 April 2014.

            Menemui sahabatku, Azizah yang kini berada di Ipoh, Perak. Semoga saudari berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga tersayang.
Saudari,
            Apa khabar saudari di sana? Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.
            Tidak lama lagi, kita akan menduduki Ujian pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk menceritakan persiapan yang telah saya lakukan bagi menghadapi peperiksaan ini.
            Saya menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya juga membuat nota penting tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru. Saya akan membaca nota-nota tersebut pada masa lapang.
            Selain itu, saya juga menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah dan kelas tambahan swasta. Saya boleh mendisiplinkan diri untuk membuat latihan tambahan yang yang diberikan oleh guru. Apabila saya menghadapi masalah dalam pelajaran, saya akan bertanya kepada guru.
            Di samping itu, saya dan beberapa orang kawan sekelas belajar secara berkumpulan di rumah saya pada setiap hari Jumaat dan Sabtu. Aktiviti belajar secara berkumpulan ini diadakan selama dua jam, iaitu dari pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang. Kami akan berbincang tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru bersama-sama. 
                                                          
            Walau bagaimanapun, saya tidak lupa untuk menjaga kesihatan diri. Jika badan kita sihat, minda kita pun cerdas. Pada setiap hujung minggu, saya dan keluarga akan beriadah di taman rekreasi. Beriadah bukan sahaja dapat melapangkan fikiran, malahan dapat  mengurangkan tekanan.
             Sekian sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga kita dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudari dan keluarga di sana. Sekian, terima kasih.

                                                                                       Sahabatmu,

                                                                                                 Sakinah

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...