Makanan
seimbang bermaksud pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan.
Dewasa ini, media masa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai
program dan penulisan artikel dalam usaha menyalurkan informasi kesihatan
kepada masyarakat.
Sejak kecil
lagi, kita dididik agar mengambil makanan yang seimbang. Makanan seimbang yang
mengandungi protein, karbohidrat, kalsium, garam mineral dan vitamin amat
diperlukan untuk tumbesaran dan membina tubuh badan yang kuat. Tubuh yang sihat
dan cergas akan memberi semangat kepada kita untuk melaksanakan tugas harian
dengan lebih baik dan sempurna.
Justeru,
tubuh badan kita akan lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit
dan tidak mudah jatuh sakit. Kita dapat menghindari penyakit kronik seperti
penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Pepatah juga ada
mengatakan,”Diri anda ialah apa yang anda makan”. Kenyataan ini jelas benar
dalam soal kesihatan.
Dalam pada
itu, pemakanan seimbang memberi kesan dalam perkembangan mental dan personaliti
kita. Seseorang yang seimbang dalam aspek pemakanan akan kelihatan sihat, cerdas
dan mempunyai produktiviti yang tinggi dalam pekerjaan. Kita tidak akan mudah
berasa letih, sebaliknya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan lebih
efektif. Sudah tentu syarikat gergasi tidak akan mengambil calon yang sering
sakit dan mempunyai masalah kesihatan sebagai pekerja mereka.
Sesungguhnya,
pemakanan seimbang penting untuk mengawal kadar obesiti. Kita hanya perlu
mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang
diperlukan oleh tubuh badan kita. Menurut sumber Berita Harian, 4 daripada 10 orang dewasa yang melebihi 18
tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau lebih berat badan
(obesiti). Sehubungan itu, pengambilan makanan seimbang akan menjadikan tubuh
badan kita tidak terlalu gemuk dan mudah menjalankan aktiviti-aktiviti harian.
Masalah obesiti juga dapat diatasi.
Konklusifnya,
kita perlu mengambil makanan seimbang demi kesihatan dan kesejahteraan hidup
kita. Pemakanan yang baik ini bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada
individu, malah masyarakat dan negara. “ Tepuk dada tanya selera”.