Sunday, 24 July 2016

Cara-cara Membalas Jasa Orang Tua Kita

Ibu bapa ialah orang yang membawa kita ke dunia ini. Tanpa mereka, siapalah kita. Sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa ibu bapa kita.

               Terdapat banyak cara untuk membalas jasa ibu bapa kita. Antaranya, kita mestilah rajin menuntut ilmu. Nescaya, semua ibu bapa berharap agar anak-anak akan berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Oleh itu, kita mestilah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ibu bapa kita.

               Di samping itu, kita hendaklah menjadi anak yang berperibadi mulia. Kita mestilah sentiasa berkelakuan baik dan berlemah-lembut semasa bertutur dengan ibu bapa. Kita hendaklah patuh kepada ibu bapa dan jadikan nasihat mereka sebagai pedoman hidup.

               Selain itu, kita mestilah bersikap ringan tulang. Ibu bapa telah penat bekerja seharian untuk mencari nafkah demi menyara keluarga. Sebagai anak, kita hendaklah membantu ibu bapa melakukan kerja rumah bagi meringankan beban mereka. Contohnya mengemas rumah dan memasak.

               Bukan itu sahaja, kita mestilah bersikap prihatin dan menyayangi ibu bapa kita. Kita patut menjaga ibu bapa kita apabila mereka sudah tua dan uzur. Kita mesti sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan ibu bapa. Sesungguhnya, pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

               Pendek kata, jasa ibu bapa amatlah besar. Janganlah kita bersikap bagai kacang lupakan kulit.

Suasana Kantin Sekolah pada Waktu Rehat

"Ring...," Loceng sekolah telah berbunyi. Murid-murid beratur ke kantin untuk mengisi perut.

               Suasana di kantin sekolah riuh-rendah seperti bertih digoreng. Sesetengah murid membawa bekalan makanan dari rumah. Sesetengah murid pula beratur dengan tertib untuk membeli makanan dan minuman.

               Terdapat pelbagai jenis makanan dijual di kantin sekolah. Misalnya mi goreng, nasi lemak, bihun sup, roti dan pelbagai jenis kuih. Semua makanan disusun dengan rapi dan ditutup dengan penutup plastik supaya tidak dicemari. Pekerja kantin melayan kerenah murid-murid dengan mesra.

               Selepas membeli makanan, murid-murid mencari tempat yang sesuai untuk menikmati makanan masing-masing. Murid-murid menjamu selera dengan sopan. Selepas makan, murid-murid meletakkan pinggan-mangkuk ke dalam besen dan membuang plastik pembungkus sampah ke dalam tong sampah yang disediakan bagi menjaga kebersihan kantin.

               Guru disiplin dan beberapa orang pengawas bertugas untuk mengawasi murid-murid di kantin sekolah. Kelihatan dua orang murid lelaki berkejar-kejaran di kantin. Mereka ditahan oleh pengawas dan ditegur oleh guru disiplin kerana melanggar peraturan sekolah.

               Apabila waktu rehat tamat, semua murid beratur pulang ke kelas masing-masing untuk meneruskan pembelajaran. Suasana di kantin sekolah pun kembali sunyi.

Friday, 20 May 2016

Cara-cara Menceriakan Kawasan Sekolah

Sekolah merupakan tempat kita menuntut ilmu. Sekolah yang cantik dan ceria sememangnya menjadi impian semua guru dan murid-murid.
           Terdapat pelbagai cara untuk menceriakan kawasan sekolah. Antaranya ialah mengadakan program bergotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah. Misalnya mencuci longkang, mengutip sampah, menebas semak-samun dan membersihkan tandas. Kita mesti menjaga kebersihan kawasan sekolah agar dapat belajar dengan selesa.
          Di samping itu, kita boleh mengadakan Program Sekolah dalam Taman dengan menanam pelbagai jenis pokok bunga untuk mengindahkan persekitaran sekolah. Landskap sekolah juga hendaklah lengkap dengan kolam ikan, pancuran air mini, gazebo dan pondok bacaan. Nescaya murid-murid dapat belajar dengan lebih berkesan dalam persekitaran sekolah yang indah dan berudara segar.
          Selain itu, pihak sekolah boleh mengecat semula pintu pagar dan bangunan sekolah. Semua warga sekolah digalakkkan mengambil bahagian dalam aktiviti mengecat dan melukis mural pada dinding agar kelihatan lebih berseri. Murid-murid pasti berasa seronok untuk belajar di sekolah yang ceria.
          Bukan itu sahaja, pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan kelas terbersih. Melalui kempen kebersihan, murid-murid akan menjalankan tugasan harian untuk membersihkan dan menceriakan kelas masing-masing. Misalnya, menyapu lantai, mengelap tingkap, menyusun meja dan kerusi dan menghias papan kenyataan. Suasana bilik darjah yang ceria akan menarik minat murid-murid untuk belajar dan membentuk pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif.
          Kesimpulannya, 'Sekolahku Rumahku' sewajarnya dipraktikkan di sekolah. Wahai kawan-kawan, marilah kita berganding bahu untuk menceriakan kawasan sekolah kita!

Monday, 7 September 2015

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Kebersihan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri.

Kita mestilah mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kita hendaklah membersihkan semua anggota badan dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan sabun dan air yang bersih. Kita juga mestilah mencuci rambut menggunakan syampu untuk mengelakkan rambut berkelemumur dan berkutu.

            Selepas mandi, kita mestilah memakai pakaian yang bersih. Pakaian yang kita pakai mestilah ditukar setiap hari bagi mengelakkan badan kita berbau dan kulit gatal-gatal. Kawan-kawan juga akan menjauhi kita jika kita kotor dan berbau kotor.

Selain itu, kita mestilah memotong kuku tangan dan kaki yang panjang. Hal ini demikian kerana kuman mudah membiak di celah-celah kuku tangan dan kaki yang panjang. Bukan itu sahaja, kita perlu menggosok gigi tiap-tiap hari. Kita juga hendaklah berkumuh selepas makan agar sisa makanan tidak melekat di celah-celah gigi. Kita hendaklah membuat pemeriksaan gigi dua kali setahun untuk memastikan gigi kita sentiasa sihat dan kuat.

Di samping itu, kita mestilah menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Persekitaran tempat tinggal yang bersih mencerminkan imej dan personaliti kita. Orang yang bersih akan disenangi oleh orang lain. Justeru, kita perlu menanam tin-tin kosong, membersihkan longkang yang tersumbat dan memastikan sampah sarap dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelakkan pembiakan haiwan perosak.  Tikus dan lalat boleh membawa jangkitan penyakit kepada kita.

Pendek kata, kebersihan adalah asas kesihatan. Jika kita menjaga kebersihan diri, kita tidak akan mudah dijangkiti penyakit. Orang yang bersih dan sihat juga akan hidup ceria.




Sunday, 6 September 2015

Suasana Temasya Sukan Sekolah Saya

          Pada hari Sabtu yang lepas, sekolah saya telah mengadakan temasya sukan tahunan yang ke-58 di padang sekolah.

          Sehari sebelum temasya sukan, semua warga sekolah sibuk membuat persiapan. Kami mendirikan kanopi di tepi padang, menghias pentas, menggantungkan panji yang berwarna-warni dan melukis garisan balapan di padang,  Kami melaksanakan tugas bagai aur dengan tebing.

          Pada hari tersebut, ibu bapa dan murid-murid berpusu-pusu ke sekolah. Semua murid memakai baju sukan rumah masing-masing. Pada pukul 8.00 pagi, upacara temasya sukan pun bermula.Pasukan pancaragam dan pasukan rumah-rumah sukan berarak masuk ke padang. Seterusnya, wakil muird melafazkan ikrar diikuti ucapan perasmian oleh Guru Besar.

          Selepas itu, acara sukan pun bermula. Acara pertama yang berlangsung ialah acara sukaneka untuk murid-murid Tahap Satu, iaitu lari dalam guni, isi air dalam botol, terompah gergasi dan lari bawa bola. Selepas itu, acara balapan dan acara padang diadakan. Contohnya lumba lari 100m, 200m, 400m, lari berganti-ganti, lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru. Acara yang paling kemuncak ialah acara tarik tali.

          Para peserta bertanding dengan bersungguh-sungguh dan menunjukkan semangat kesukanan yang kental. Ramai penyokong yang mengangkat sepanduk dan bersorak-sorai untuk memberi sokongan kepada pasukan rumah sukan masing-masing. Terdapat juga ibu bapa yang asyik merakamkan gambar anak-anak mereka yang beraksi di tengah padang. Suasana di padang meriah sekali.

          Kira-kira pada pukul 12.00 tengah hari, upacara penyampaian diadakan. Para pemenang dijemput naik ke atas podium oleh juruacara. Guru Besar mengalungkan pingat kepada pemenang dan mengucapkan tahniah kepada mereka. Olahragawan dan olahragawati pada temasya sukan kali ini ialah Bowie Lim dan Julia Ng. Pasukan Rumah Merah turut diumumkan sebagai johan keseluruhan. Semua ahli pasukan rumah Merah bersorak kegembiraan apabila ketua pasukan menjulang piala kemenangan.
 
          Temasya sukan sekolah saya telah berakhir pada pukul 1.30 petang. Suasana di sekolah saya kembali lengang.



         
          .

         

Monday, 24 August 2015

Hari Kantin Sekolah Saya

          Pada hari minggu yang lalu, sekolah saya telah mengadakan Hari Kantin. Tujuan Hari Kantin diadakan adalah untuk mengumpul duit bagi membeli komputer baharu dan bahan bacaan perpustakaan. Aktiviti ini melibatkan semua guru dan murid-murid tahun enam.

          Pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di kantin. Guru Penolong Kanan, Puan Khoo memberikan taklimat ringkas kepada murid-murid. Kemudian, beliau membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas.

          Kumpulan A menghias gerai-gerai dengan belon dan reben dengan beraneka warna. Kumpulan B menyusun barang-barang jualan di setiap gerai dengan kemas. Kumpulan C pula membantu guru menyediakan kupon untuk dijual kepada para pengunjung. Semua murid melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh bagai aur dengan tebing.

          Kira-kira pada pukul 9.00 pagi, pengunjung berpusu-pusu ke sekolah. Kami melayan para pengunjung dengan mesra dan berbudi bahasa. Ada murid yang memperkenalkan barang jualan kepada pengunjung dan ada juga murid yang menarik perhatian pengunjung dengan promosi "Beli Satu Percuma Satu" dan cabutan bertuah. Suasana di kantin sekolah meriah sekali.

          Pada pukul 1.00 petang. Hari Kantin telah berakhir. kami pun mengemas barang-barang dan membersihkan kawasan kantin. Hari Kantin mendapat sambutan yang hangat daripada ibu bapa dan murid-murid. Semua barang jualan kami telah habis dijual.

          Guru Besar sangat berbesar hati kerana Hari Kantin berjalan dengan lancar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah yang menjayakan aktiviti ini. Kami berasa letih tetapi gembira kerana boleh menyumbang tenaga kepada pihak sekolah.

Sunday, 23 August 2015

Perpustakaan Sekolah Saya

            Nama saya Aisyah Najihah. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Di sekolah saya ada sebuah perpustakaan yang besar dan bersih.
            Perpustakaan sekolah saya terletak di blok A. Di perpustakaan sekolah saya terdapat pelbagai kemudahan seperti meja, kerusi, sofa, komputer, mesin pencetak dan alat penghawa dingin.
            Di dalam perpustakaan terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Contohnya buku cerita, buku rujukan, novel, komik, surat khabar, kamus dan banyak lagi. Semua bahan bacaan disusun di atas rak buku dengan rapi.
            Pada waktu rehat, murid-murid akan berkunjung ke perpustakaan. Murid-murid boleh membaca buku dan meminjam buku kesukaan mereka di perpustakaan. Murid-murid mesti senyap semasa berada di dalam perpustakaan.
            Setiap hari, pustakawan akan bertugas di dalam perpustakaan. Pustakawan bertanggungjawab untuk merekodkan buku yang dipinjam oleh murid-murid dan mengemas buku-buku di dalam perpustakaan. Murid-murid yang  melanggar peraturan perpustakaan akan didenda.

            Perpustakaan ialah gedung ilmu. Saya berharap semua murid akan menghargai kemudahan di dalam perpustakaan dan menggunakannya dengan baik.