Sunday 23 September 2018

Cara-cara Menggembirakan Ibu Bapa


Ibu bapa merupakan orang yang melahirkan dan membesarkan kita. Tanpa mereka, siapalah kita. Sebagai anak, kita sewajarnya menyayangi dan menggembirakan ibu bapa kita.

            Terdapat pelbagai cara untuk menggembirakan ibu bapa kita. Antaranya ialah kita mestilah taat kepada ibu bapa. Kita harus patuh kepada nasihat ibu bapa demi kebaikan dan keselamatan kita. Kita hendaklah sentiasa mengingati kata-kata ibu bapa di mana jua kita berada agar tidak membimbangkan mereka.

            Di samping itu, kita mestilah rajin menuntut ilmu. Kita mesti belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa pasti berasa bangga dan gembira sekiranya kita berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

            Selain itu, kita mestilah menjadi anak yang ringan tulang. Kita mesti rajin membantu ibu bapa melakukan kerja rumah bagi meringankan beban mereka. Misalnya mencuci pinggan mangkuk, menyapu lantai, membuang sampah dan melipat pakaian. Ibu bapa pasti berasa gembira dan terharu apabila melihat keadaan rumah yang bersih dan kemas setelah penat bekerja di luar.

            Bukan itu sahaja, kita mestilah menyayangi ibu bapa sebagaimana mereka menyayangi kita. Kita hendaklah menyambut hari-hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan hari lahir ibu bapa bersama-sama. Ibu bapa akan berasa gembira kerana kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

            Kesimpulannya, ibu bapa merupakan insan yang paling mulia dan tiada gantinya. Kita mestilah menghargai dan menggembirakan mereka selagi mereka masih hidup. Tepuk dada tanya selera.

 

Kosa Kata

1.      menara gading   大学

2.      hari-hari istimewa   特别的日子

3.      tepuk dada tanya selera   三思而后行

Aktiviti-aktiviti Sambutan Hari Kemerdekaan

1. Pasukan beruniform memberi tabik hormat kepada pemimpin-pemimpin negara.
2. Seorang pemuda merakamkan detik-detik perarakan Hari Kebangsaan dengan kamera digital sebagai kenang-kenangan.
3. Pelajar-pelajar melambai-lambaikan Jalur Gemilang dengan penuh semangat.
4. Para penonton terpegun menyaksikan pertunjukan akrobatik jet pejuang.
5. Semua penonton berdiri tegak untuk menyanyikan lagu "Negaraku" dengan penuh semangat patriotik.

Thursday 13 September 2018

Ulasan : Kegunaan Pokok Kelapa

Pokok kelapa mempunyai banyak kegunaan. Antaranya, air buah kelapa muda boleh diminum untuk menyejukkan badan terutamanya pada hari panas. Di samping itu, daun kelapa boleh dianyam menjadi sarung ketupat ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Seterusnya, batang pokok kelapa yang keras dan panjang sesuai dijadikan titi untuk menyeberangi sungai atau parit. Selain itu, isi kelapa boleh diproses menjadi sabun untuk membersihkan badan kita. Isi kelapa juga boleh dibuat marjerin yang diperlukan semasa membuat biskut atau kuih. Kesimpulannya, kita hendaklah menghargai pokok kelapa kerana hampir seluruh bahagian tumbuhan ini memberikan manfaat kepada kita.

Monday 10 September 2018

Ciri - ciri Murid Cemerlang

           Setiap pelajar pasti mempunyai impian untuk menjadi murid yang cemerlang dalam pelbagai aspek seperti kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Namun impian ini tidak datang dengan sendiri. Murid-murid perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi murid cemerlang.
           Untuk menjadi seorang murid cemerlang, kita perlu tekun belajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kita mesti menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Dengan itu, kita dapat memahami dan mengingati pelajaran yang disampaikan oleh guru.
           Di samping itu, kita mesti mempunyai akhlak yang mulia. Kita mestilah mengamalkan tatasusila dan budi pekerti dalam pergaulan. Murid cemerlang bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga perlu mempunyai akhlak yang terpuji.
           Selain itu, kita mesti bergiat aktif dalam bidang sukan. Kita mesti sentiasa aktif dan bersukan agar tubuh badan kita cergas dan minda kita cerdas. Murid yang sihat dan cergas dapat menghadapi cabaran dan menangani stres dengan berkesan.
           Bukan itu sahaja, kita juga perlu mempunyai hubungan sosial yang baik. Kita hendaklah bergaul mesra dengan orang lain dan menghindari sikap kera sumbang. Sikap ini penting bagi melahirkan murid yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
            Konklusinya, bukan mustahil untuk menjadi murid cemerlang. Kita perlu berusaha untuk mencapainya bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”

Saturday 8 September 2018

Pengalaman Memancing

Hari ini ayah tidak perlu bekerja. Beliau mengajak saya pergi ke Sungai Pekan untuk memancing ikan. Sebelum bertolak, kami menyediakan peralatan untuk memancing seperti joran, umpan, mata kail, baldi dan  bekalan makanan.
          Setibanya di destinasi, kami mencari tempat yang teduh untuk memancing ikan. Mula-mula, ayah menunjukkan cara untuk memasang umpan pada mata kail. Kemudian, ayah mengajar saya teknik melontar umpan ke dalam sungai. Saya patuh kepada arahan ayah dan menunggu dengan sabar.
          Tiba-tiba, joran saya bergoyang. Saya berasa suka hati lalu menarik joran dengan sekuat hati. Malangnya, ikan yang telah memakan umpan itu berjaya melepaskan diri.
           Walaupun begitu, saya tidak berputus asa. Saya mencuba lagi. Pada kali ini, saya berlangkah kanan kerana berjaya memancing ikan yang besar. Saya berasa girang sekali.
          Apabila matahari kian terbenam, kami pun berkemas untuk pulang ke rumah. Saya dan ayah berjaya memancing enam ekor ikan. Emak membakar ikan-ikan tersebut sebagai hidangan malam.
          Saya berharap agar dapat mengikut ayah pergi memancing ikan lagi pada masa hadapan.

Friday 7 September 2018

Ulasan / Bina Ayat 1: Gaya Hidup Sihat

1. Kita mesti  bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu supaya badan kita sihat dan cergas.
2. Kita hendaklah mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan berpandukan piramid  makanan agar badan kita memperoleh semua nutrien yang diperlukan.
3. Kita patut mendapat tidur yang berkualiti supaya badan dan minda mendapat rehat yang secukupnya.
4. Kita harus menjaga kebersihan diri dan persekitaran agar dapat menghindari penyakit berjangkit seperti demam denggi dan taun.
5. Kita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui tahap kesihatan diri.

Ulasan 1: Faedah Berkebun

Gambar tersebut menunjukkan faedah amalan berkebun.
          Antaranya, kita boleh menambahkan pendapatan keluarga. Hal ini demikian kerana kita boleh menjual hasil tanaman kita untuk mendapatkan wang. Di samping itu, kita boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila menjalankan aktiviti berkebun bersama-sama ahli keluarga. Selain itu, aktiviti berkebun juga boleh menyihatkan badan kita kerana badan kita akan mengeluarkan peluh yang banyak semasa berkebun. Bukan itu sahaja, kita boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana tidak perlu membeli sayur-sayuran, malahan dapat makan sayur-sayuran yang segar.
          Kesimpulannya, kita hendaklah mempraktikkan amalan berkebun kerana amalan ini boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita.

Tuesday 4 September 2018

Faedah Membaca

Amalan membaca merupakan satu amalan yang mulia. Amalan ini boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita.
          Melalui aktiviti membaca, kita akan peka kepada isu-isu global. Sebagai contoh, kita boleh mengetahui perkembangan semasa dan memperoleh maklumat terkini melalui pembacaan surat khabar dan laman sosial. Kita tidak akan digelar seperti katak di bawah tempurung.
          Di samping itu, amalan membaca dapat menambahkan perbendaharaan kata dan meningkatkan penguasaan bahasa kita. kita dapat mempelajari kosa kata yang baharu semasa membaca. Ini dapat membantu kita menulis esei yang baik dan bertutur dengan lebih lancar.
          Selain itu, amalan membaca membolehkan kita meneroka ilmu dalam pelbagai bidang. Misalnya, apabila kita membaca bahan ilmiah Sains, kita akan memperoleh ilmu tentang Sains. Seseorang yang mempunyai kepelbagaian ilmu dapat mencetuskan idea yang bernas dan berfikir secara kreatif dan kritis.
          Dalam pada itu, aktiviti membaca dapat mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Kita boleh membaca di rumah mahupun di perpustakaan pada masa terluang. Dengan itu, kita dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti berjudi dan melepak.
          Pendek kata, membaca ialah jambatan ilmu. Budaya membaca sewajarnya dipupuk sejak kita kecil lagi bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...