Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan oleh
murid-murid di luar kelas selepas waktu persekolahan. Lazimnya, kegiatan
kokurikulum dijalankan pada waktu petang.
Murid-murid diwajibkan menyertai tiga kategori kokurikulum di
sekolah iaitu persatuan, kelab sukan dan persatuan beruniform. Selain
pencapaian akademik, kokurikulum turut memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan generasi yang berwibawa dan berperibadi mulia.
Antara kepentingan kegiatan kokurikulum ialah murid-murid
tidak akan menjadi ulat buku. Sebaliknya, murid-murid boleh mengisi masa lapang
untuk melakukan aktiviti lain yang turut membawa faedah. Misalnya, aktiviti
sukan bukan sahaja dapat menyihatkan badan, malahan dapat mencungkil bakat
murid-murid dalam bidang sukan. Murid-murid tidak akan terjerumus dalam
kegiatan yang tidak sihat seperti berjudi, merokok dan melepak.
Di samping itu, murid-murid dapat menyemai nilai-nilai murni
seperti berdikari, berdisiplin, bertanggungjawab dan hormat-menghormati apabila
menyertai pasukan beruniform. Contohnya Persatuan Pengakap dan Persatuan Bulan
Sabit Merah. Murid-murid juga dapat belajar ilmu yang tidak dapat dipelajari di
dalam buku teks seperti cara-cara membalut luka, mendirikan khemah dan
menggunakan kompas.
Selain itu, murid-murid dapat berkenalan dengan kawan-kawan
yang berlainan bangsa dan agama. Murid-murid akan berpeluang untuk saling
memahami dan menghormati semasa melaksanakan tugasan. Ini dapat memupuk
semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan murid-murid.
Pendek kata, kegiatan kokurikulum boleh mendatangkan banyak
manfaat kepada murid-murid. Jadilah seorang murid yang cemerlang dalam bidang
akademik dan kokurikulum.
Kosa kata:
lazimnya = biasanya 通常/一般
mulia = terpuji 受赞扬
ulat buku = suka membaca 书虫
terjerumus = terjebak 陷入
manfaat = kebaikan 好处