Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara kita. Mata pelajaran ini wajib dipelajari oleh semua murid. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah fasih berbahasa Melayu.
Saya meminati mata pelajaran ini sejak belajar dalam tahun tiga lagi. Guru Bahasa Melayu saya ialah Puan Noraini. Beliau mengajar kami dengan baik. Oleh itu, saya dapat memahami pelajaran yang diajar oleh beliau.
Mata pelajaran ini terbahagi kepada dua kertas. Dalam kertas satu, kami belajar tentang pemahaman dan tatabahasa seperti kata nama, kata ganda, kata kerja, peribahasa dan sebagainya. Kami juga perlu membaca dan menjawab soalan petikan dengan teliti.
Dalam kertas dua pula, kami belajar menulis ayat, ulasan dan karangan. Kami belajar membina ayat tunggal dan ayat majmuk. Cikgu mengajar kami menulis ayat, ulasan dan karangan dengan betul.
Pada masa lapang, saya suka membaca buku cerita dan surat khabar berbahasa Melayu. Semasa membaca, saya dapat mempelajari kosa kata yang baharu. Saya berharap agar dapat mencapai lapan A dalam UPSR nanti.
Wednesday, 28 August 2019
Mata Pelajaran Kegemaran Saya
Wednesday, 14 August 2019
Surat Tidak Rasmi
Anda telah meraikan satu perayaan bersama-sama keluarga baru-baru ini. Tulis sepucuk surat kepada sahabat anda untuk menceritakan pengalaman menyambut perayaan tersebut.
Joyce Lee Siew Ling,
28, Jalan Batas Baru,
20300 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.
13 September 2019.
Menemui sahabatku, Salina yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah. Semoga saudari sihat dan gembira di sisi keluarga tersayang.
Saudari,
Apa khabar saudari di sana? Saya di sini sihat-sihat sahaja. Baru-baru ini, saya telah menyambut Pesta Tanglung bersama-sama keluarga saya. Saya ingin berkongsi pengalaman dan detik-detik yang menggembirakan ini bersama-sama saudari.
Pesta Tanglung merupakan hari perayaan yang akan disambut oleh masyarakat Cina pada bulan kelapan hari kelima belas setiap tahun mengikut kalendar Cina. Menjelang hari tersebut, ibu telah menempah kuih bulan yang pelbagai jenis perisa dan inti seperti kacang merah, kuning telur masin dan adunan biji teratai. Ibu juga membuat agar-agar kuih bulan sebagai pencuci mulut selepas makan malam pada hari tersebut.
Tahukah saudari, saat-saat yang paling menyeronokkan adalah pada sebelah malam. Selepas makan malam, kami menyalakan tanglung di halaman rumah. Anak-anak jiran yang pelbagai kaum telah berkunjung ke rumah saya untuk bermain tanglung bersama-sama. Kami menyalakan tanglung dan menggantungkan tanglung-tanglung tersebut di sekeliling rumah.
Selain itu, kami juga menyalakan lilin yang berwarna-warni untuk disusun dalam pelbagai bentuk. Suasana di rumah saya menjadi terang-benderang dan meriah sekali. Kata ayah, ini boleh membawa tuah dan kehidupan yang lebih baik kepada kami. Di samping itu, perayaan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
Alangkah baiknya jika saudari juga dapat meraikan pesta tanglung bersama-sama saya. Saya berharap agar saudari akan berpeluang untuk menyambut Pesta Tanglung dengan rakan berbangsa Cina di tempat saudari pada tahun hadapan. Dapatlah saudari merasai keseronokan bermain tanglung dan lilin.
Sekian sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga kita boleh berjumpa lagi di lain lembaran. Sambutlah salam rindu daripada saya kepada saudari dan keluarga di sana.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Joyce Lee
Monday, 5 August 2019
Surat Tidak Rasmi
Lim Kah Hui,
No. 8, Lorong Bukit Setongkol 38,
25200 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.
15 Mac 2019.
Menenui kakanda, Kah Hao yang kini berada di Melbourne, Australia. Semoga kakanda sihat sejahtera.
Kakanda yang dirindui,
Apa khabar kakanda di sana? Adinda di sini sihat-sihat sahaja.
Untuk makluman kakanda, adinda akan menduduki UPSR pada 3 September 2019. Adinda telah mula membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan ini bak kata pepatah, "sediakan payung sebelum hujan".
Di sekolah, adinda sentiasa pasang telinga semasa guru sedang mengajar. Apabila adinda menghadapi masalah dalam pelajaran, adinda akan bertanya kepada guru ataupun kawan-kawan. Adinda juga menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dengan bersungguh-sungguh.
Selain itu, pihak sekolah telah mengadakan kelas tambahan khas untuk semua murid tahun enam selepas waktu persekolahan. Guru-guru mengajar kami secara percuma dan memberikan penerangan tambahan kepada kami agar kami benar-benar faham pelajaran yang telah disampaikan.
Di samping itu, adinda juga belajar secara berkumpulan dengan Kelly, Batriesya dan Yoga pada setiap hari minggu di rumah. Kami membuat ulang kaji bagi subjek Sains dan Matematik. Cara pembelajaran ini amat berkesan dan banyak membantu adinda yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.
Kakanda, adinda akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Adinda ingin mengikut jejak kakanda untuk melanjutkan pelajaran di menara gading. Kakanda berdoalah untuk adinda agar berjaya mencapai impian adinda ini.
Sekian sahaja warkah adinda buat kali ini. Sambutlah salam rindu daripada bonda, ayahanda dan adinda untuk kakanda di sana. Sekian, terima kasih.
Mata Pelajaran Kegemaran Saya
Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu. Baha...
-
Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri. Kita mestilah mandi sekurang-kurang...
-
Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya telah menyertai perkhemahan pengakap yang diadakan di sekolah saya selama dua hari satu mala...
-
Hari ini hari minggu. Ayah membawa kami sekeluarga ke Pasar Raya Pakson untuk membeli-belah. Pasar raya itu mengadakan jualan mega sem...