Wednesday, 14 August 2019

Surat Tidak Rasmi

Anda telah meraikan satu perayaan bersama-sama keluarga baru-baru ini. Tulis sepucuk surat kepada sahabat anda untuk menceritakan pengalaman menyambut perayaan tersebut.

                                                                                         Joyce Lee Siew Ling,
                                                                                         28, Jalan Batas Baru,
                                                                                         20300 Kuala Terengganu,
                                                                                         Terengganu Darul Iman.

                                                                                         13 September 2019.

Menemui sahabatku, Salina yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah. Semoga saudari sihat dan gembira di sisi keluarga tersayang.

Saudari,
               Apa khabar saudari di sana? Saya di sini sihat-sihat sahaja. Baru-baru ini, saya telah menyambut Pesta Tanglung bersama-sama keluarga saya. Saya ingin berkongsi pengalaman dan detik-detik yang menggembirakan ini bersama-sama saudari.

               Pesta Tanglung merupakan hari perayaan yang akan disambut oleh masyarakat Cina pada bulan kelapan hari kelima belas setiap tahun mengikut kalendar Cina. Menjelang hari tersebut, ibu telah menempah kuih bulan yang pelbagai jenis perisa dan inti seperti kacang merah, kuning telur masin dan adunan biji teratai. Ibu juga membuat agar-agar kuih bulan sebagai pencuci mulut selepas makan malam pada hari tersebut.

               Tahukah saudari, saat-saat yang paling menyeronokkan adalah pada sebelah malam. Selepas makan malam, kami menyalakan tanglung di halaman rumah. Anak-anak jiran yang pelbagai kaum telah berkunjung ke rumah saya untuk bermain tanglung bersama-sama. Kami menyalakan tanglung dan menggantungkan tanglung-tanglung tersebut di sekeliling rumah.

               Selain itu, kami juga menyalakan lilin yang berwarna-warni untuk disusun dalam pelbagai bentuk. Suasana di rumah saya menjadi terang-benderang dan meriah sekali. Kata ayah, ini boleh membawa tuah dan kehidupan yang lebih baik kepada kami. Di samping itu, perayaan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk  perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

               Alangkah baiknya jika saudari juga dapat meraikan pesta tanglung bersama-sama saya. Saya berharap agar saudari akan berpeluang untuk menyambut Pesta Tanglung dengan     rakan berbangsa Cina di tempat saudari pada tahun hadapan. Dapatlah saudari merasai keseronokan bermain tanglung dan lilin.

               Sekian sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga kita boleh berjumpa lagi di lain lembaran. Sambutlah salam rindu daripada saya kepada saudari dan keluarga di sana.
              
Sekian, terima kasih.

                                                                                                                Yang benar,
                                                                                                                 Joyce Lee

                                                                                        

No comments:

Post a Comment

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...