Friday 12 July 2019

Ucapan - Majlis Perpisahan Guru

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
          Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Saya mewakili rakan-rakan ingin menyatakan perasaan sedih dan berat hati untuk berpisah dengan Cikgu Rosnani yang kami sayangi.
Hadirin yang dihormati,
          Cikgu Rosnani akan menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah baharu, iaitu SJK (C) Chung Hwa mulai minggu hadapan. Cikgu Rosnani merupakan seorang guru yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Beliau juga pandai mengambil hati murid-murid di dalam kelas. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada pihak sekolah dan murid-murid.
          Jasa dan pengorbanan Cikgu Rosnani kepada kami tidak ternilai harganya. Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami. Selain itu, beliau sentiasa mengambil berat tentang pelajaran kami dan sanggup meluangkan masa untuk mengadakan kelas tambahan kepada murid-murid yang lemah dalam subjek bahasa Melayu.
          Saya mewakili semua murid mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Rosnani. Kami amat menghargai segala usaha dan jasa cikgu. Kami berjanji akan belajar dengan bersungguh-sungguh agar mencapai keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
          Kami juga ingin meminta maaf daripada cikgu atas segala kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang cikgu mendidik kami. Kami berdoa agar cikgu gembira bertugas di sekolah baharu dan jangan lupakan kami di sini.
          Sebelum mengakhiri ucapan ini, izinkan saya sampaikan serangkap pantun.
                                   Pisang emas dibawa belayar,
                                   Masak sebiji di atas peti;
                                   Hutang emas boleh dibayar,
                                   Hutang budi dibawa mati.
Sekian, terima kasih.

4 comments:

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...