Ayah telah
berjanji membawa saya dan adik meraikan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.
Pada hari tersebut, kami bertolak pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan
lalu-lintas. Kami telah mencari tempat yang strategik, iaitu di barisan paling
hadapan agar dapat melihat dengan lebih jelas.
Tepat
jam 7.30 pagi, dif-dif kehormat telah mengambil tempat duduk di atas pentas
utama. Orang ramai turut membanjiri Dataran Merdeka. Upacara bermula dengan
nyanyian lagu “Negaraku” dan lagu-lagu patriotik. Bendera Jalur Gemilang
dinaikkan dan berkibar megah di angkasa.
Selepas
itu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan di atas pentas. Beliau mengakhiri
ucapannya dengan laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali. Seluruh rakyat jelata
menyahut laungannya dengan penuh semangat patriotisme sambil mengibarkan Jalur
Gemilang. Suasana di Dataran Merdeka meriah sekali.
Seterusnya,
perbarisan lintas hormat diketuai oleh pasukan pancaragam diikuti oleh pasukan
beruniform seperti pasukan polis, tentera, bomba, murid-murid sekolah,
kakitangan kerajaan dan kumpulan pejuang veteran negara. Mereka kelihatan segak
dan gagah dengan pakaian seragam masing-masing.
Perarakan
kereta berhias dan pertunjukkan akrobatik jet pejuang turut memeriahkan lagi
suasana sambutan Hari Kebangsaan. Saya sempat merakamkan detik-detik yang
sungguh mengagumkan ini dengan perakam video. Saya akan berkongsi rakaman ini
dengan kawan-kawan di sekolah nanti.
Kira-kira
jam 11.00 pagi, upacara sambutan Hari Kebangsaan telah berakhir. Saya telah
mendapat satu pengalaman yang amat berharga. Saya cinta akan tanah air saya dan
berbangga menjadi rakyat Malaysia.