Monday, 24 August 2015

Hari Kantin Sekolah Saya

          Pada hari minggu yang lalu, sekolah saya telah mengadakan Hari Kantin. Tujuan Hari Kantin diadakan adalah untuk mengumpul duit bagi membeli komputer baharu dan bahan bacaan perpustakaan. Aktiviti ini melibatkan semua guru dan murid-murid tahun enam.

          Pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di kantin. Guru Penolong Kanan, Puan Khoo memberikan taklimat ringkas kepada murid-murid. Kemudian, beliau membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas.

          Kumpulan A menghias gerai-gerai dengan belon dan reben dengan beraneka warna. Kumpulan B menyusun barang-barang jualan di setiap gerai dengan kemas. Kumpulan C pula membantu guru menyediakan kupon untuk dijual kepada para pengunjung. Semua murid melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh bagai aur dengan tebing.

          Kira-kira pada pukul 9.00 pagi, pengunjung berpusu-pusu ke sekolah. Kami melayan para pengunjung dengan mesra dan berbudi bahasa. Ada murid yang memperkenalkan barang jualan kepada pengunjung dan ada juga murid yang menarik perhatian pengunjung dengan promosi "Beli Satu Percuma Satu" dan cabutan bertuah. Suasana di kantin sekolah meriah sekali.

          Pada pukul 1.00 petang. Hari Kantin telah berakhir. kami pun mengemas barang-barang dan membersihkan kawasan kantin. Hari Kantin mendapat sambutan yang hangat daripada ibu bapa dan murid-murid. Semua barang jualan kami telah habis dijual.

          Guru Besar sangat berbesar hati kerana Hari Kantin berjalan dengan lancar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah yang menjayakan aktiviti ini. Kami berasa letih tetapi gembira kerana boleh menyumbang tenaga kepada pihak sekolah.

Sunday, 23 August 2015

Perpustakaan Sekolah Saya

            Nama saya Aisyah Najihah. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Di sekolah saya ada sebuah perpustakaan yang besar dan bersih.
            Perpustakaan sekolah saya terletak di blok A. Di perpustakaan sekolah saya terdapat pelbagai kemudahan seperti meja, kerusi, sofa, komputer, mesin pencetak dan alat penghawa dingin.
            Di dalam perpustakaan terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Contohnya buku cerita, buku rujukan, novel, komik, surat khabar, kamus dan banyak lagi. Semua bahan bacaan disusun di atas rak buku dengan rapi.
            Pada waktu rehat, murid-murid akan berkunjung ke perpustakaan. Murid-murid boleh membaca buku dan meminjam buku kesukaan mereka di perpustakaan. Murid-murid mesti senyap semasa berada di dalam perpustakaan.
            Setiap hari, pustakawan akan bertugas di dalam perpustakaan. Pustakawan bertanggungjawab untuk merekodkan buku yang dipinjam oleh murid-murid dan mengemas buku-buku di dalam perpustakaan. Murid-murid yang  melanggar peraturan perpustakaan akan didenda.

            Perpustakaan ialah gedung ilmu. Saya berharap semua murid akan menghargai kemudahan di dalam perpustakaan dan menggunakannya dengan baik.

Cita – cita Saya


          Setiap orang mempunyai cita-cita. Begitu juga dengan saya. Cita-cita saya ialah menjadi seorang doktor gigi.
            Saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi sejak berumur lima tahun lagi. Saya masih ingat peristiwa yang berlaku ketika saya belajar di tadika. Pada suatu hari, saya menangis kerana sakit gigi. Ayah pun membawa saya ke klinik gigi untuk membuat pemeriksaan.
            Rupa-rupanya, gigi saya telah rosak akibat suka makan gula-gula dan tidak menjaga gigi dengan baik. Akhirnya, gigi yang rosak itu telah dicabut oleh doktor gigi. Doktor menasihati saya supaya mengurangkan pengambilan makanan yang manis dan menggosok gigi dengan cara yang betul.
            Semenjak hari itu, saya mengikut nasihat doktor. Saya menjaga gigi saya dengan baik supaya gigi saya sentiasa bersih dan kuat. Saya berazam untuk menjadi seorang doktor gigi yang bertanggungjawab. Saya akan memeriksa gigi pesakit dengan teliti dan memberikan rawatan yang terbaik kepada mereka.
            Di samping itu, saya akan menyalurkan informasi tentang cara-cara penjagaan gigi yang betul kepada semua lapisan masyarakat. Saya akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pendalaman dan mendedahkan kepentingan menjaga kesihatan gigi kepada mereka agar semua penduduk dapat hidup sihat dan ceria.
            Saya sedar bahawa untuk mencapai cita-cita saya bukanlah suatu perkara yang mudah. Sehubungan itu, saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian saya. Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

            Saya yakin dengan berkat usaha saya, cita-cita saya pasti menjadi kenyataan.

Sunday, 16 August 2015

Aku Sebuah Basikal

                Aku ialah sebuah basikal. Namaku BMX. Aku diperbuat daripada besi dan keluli yang berkualiti. Badanku berwarna merah dan hitam. Aku dilahirkan di sebuah kilang yang terletak di Selangor.

                Setelah dilahirkan, aku dan kawan-kawanku  dihantar ke sebuah  kedai basikal di Kuantan. Pekedai itu mempamerkan kami di hadapan kedai. Setiap hari, ramai orang lalu-lalang di kedai itu.

                Pada suatu hari, seorang lelaki dan anaknya singgah di kedai basikal. Mereka tertarik dengan kecantikan aku. Selepas tawar-menawar hargaku dengan pekedai itu, mereka pun membeli aku dengan harga RM 450.00 lalu membawa aku pulang ke rumah. Hatiku girang sekali kerana telah bertuan.

                Tuan aku bernama Fazli. Dia ialah murid tahun lima. Setiap hari, tuan mengayuh aku ke sekolah. Pada sebelah petang, dia mengayuh aku ke taman permainan bersama-sama kawannya. Tuan sentiasa mengayuh basikal dengan cermat.

                Pada hari minggu, tuan akan mencuci badan aku dengan air sabun. Selepas itu, dia menggilap badanku sehingga berkilat-kilat. Kawan-kawan tuan sering memuji kecantikanku. Pada sebelah malam, tuan akan mengunci aku di dalam garaj kereta agar tidak dicuri orang.


                Aku sangat berbesar hati kerana diriku dihargai. Aku akan berbakti kepada tuan aku sehingga akhir hayatku.

Faedah Berkebun


Berkebun merupakan salah satu aktiviti yang baik. Hal ini demikian kerana berkebun boleh membawa banyak manfaat kepada kita.

Dewasa ini, semua lapisan masyarakat digalakkan berkebun. Kita boleh berkebun di kawasan yang sesuai contohnya di halaman rumah ataupun di belakang rumah. Aktiviti berkebun boleh mengisi masa terluang kita dengan berfaedah. 

Semasa berkebun, kita boleh mengurangkan tekanan dan perasaan bosan. Kita juga tidak akan terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti merokok, melepak, berjudi dan menagih dadah.

Di samping itu, kita boleh menjadi insan yang berguna dan berbudi kepada tanah. Dengan berkebun, kawasan lapang atau tanah terbiar boleh digunakan dengan sebaik-baiknya. Pokok bunga yang berwarna-warni juga  boleh menceriakan kawasan persekitaran.

Apatah lagi, kita boleh mengeratkan hubungan silaturahim. Hal ini disebabkan kita boleh melakukan aktiviti berkebun bersama-sama ahli keluarga dan sahabat handai kita. Semasa berkebun, kita akan berpeluang untuk berkomunikasi dan bekerja bersama-sama bagai aur dengan tebing. Kita bukan sahaja dapat saling memahami, tetapi juga dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan yang berbilang bangsa dan agama.

Selain itu, kita boleh meningkatkan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana hasil tanaman kita boleh dijual bagi menambahkan pendapatan keluarga. Kita juga boleh menceburi bidang pertanian sebagai salah satu mata pencarian sekiranya berminat dalam kegiatan berkebun.

Konklusifnya, aktiviti berkebun banyak mendatangkan faedah kepada semua lapisan masyarakat. Wahai kawan-kawan, marilah kita berkebun bersama-sama!

Kemalangan Jalan Raya


                        Pada suatu petang, saya berjalan kaki pulang dari sekolah selepas tamat latihan badminton.

                        Tiba-tiba, saya terdengar satu bunyi dentuman yang kuat. Alangkah terkejutnya, saya melihat sebuah kereta Proton Waja telah berlanggar dengan sebuah motosikal di hadapan sekolah.

                        Tanpa berlengah-lengah, saya pun berlari ke pondok telefon awam yang berdekatan untuk menghubungi pihak polis dan hospital. Banyak orang mengerumuni tempat kejadian itu.

                        Penunggang dan pembonceng motosikal itu cedera parah. Mereka meniarap di tengah jalan. Badan mereka berlumuran darah. Pemandu kereta pula cedera ringan. Dia mengerang kesakitan sambil meminta tolong. Bahagian hadapan kereta itu telah remuk dan cermin kereta pecah berkecai. Beberapa orang pemuda yang baik hati telah membantu pemandu kereta itu keluar dari keretanya.

                        Tidak lama kemudian, kereta ambulans dan kereta polis pun sampai di tempat kejadian. Anggota polis segera mengawal kesesakan lalu-lintas manakala anggota penyelamat pula mengusung mangsa kemalangan itu ke dalam kereta ambulans.

           Selepas itu, orang ramai pun bersurai. Saya segera meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah. Saya akan berhati-hati semasa berada di jalan raya kerana malang tidak berbau.



Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...