Setiap
orang mempunyai cita-cita. Begitu juga dengan saya. Cita-cita saya ialah
menjadi seorang doktor gigi.
Saya
bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi sejak berumur lima tahun lagi.
Saya masih ingat peristiwa yang berlaku ketika saya belajar di tadika. Pada suatu hari, saya menangis kerana sakit gigi. Ayah pun
membawa saya ke klinik gigi untuk membuat pemeriksaan.
Rupa-rupanya,
gigi saya telah rosak akibat suka makan gula-gula dan tidak menjaga gigi dengan
baik. Akhirnya, gigi yang rosak itu telah dicabut oleh doktor gigi. Doktor
menasihati saya supaya mengurangkan pengambilan makanan yang manis dan
menggosok gigi dengan cara yang betul.
Semenjak
hari itu, saya mengikut nasihat doktor. Saya menjaga gigi saya dengan baik
supaya gigi saya sentiasa bersih dan kuat. Saya berazam untuk menjadi seorang doktor
gigi yang bertanggungjawab. Saya akan memeriksa gigi pesakit dengan teliti dan
memberikan rawatan yang terbaik kepada mereka.
Di
samping itu, saya akan menyalurkan informasi tentang cara-cara penjagaan gigi yang
betul kepada semua lapisan masyarakat. Saya akan memberi perkhidmatan kepada
penduduk di kawasan pendalaman dan mendedahkan kepentingan menjaga kesihatan
gigi kepada mereka agar semua penduduk dapat hidup sihat dan ceria.
Saya
sedar bahawa untuk mencapai cita-cita saya bukanlah suatu perkara yang mudah.
Sehubungan itu, saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan
impian saya. Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Saya yakin
dengan berkat usaha saya, cita-cita saya pasti menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment