Sunday, 31 August 2014

Keluarga Saya


            Keluarga bermakna seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami isteri atau berserta anak-anak. Saya bernama Aisyah Najihah. Saya menuntut di Tahun 6 di SK (P) Methodist. Saya berasal dari sebuah keluarga yang sederhana.

            Keluarga saya terdiri daripada empat orang ahli keluarga, iaitu ayah, ibu, kakak dan saya. Ayah saya seorang peniaga manakala ibu saya seorang suri rumah tangga. Kakak saya, Amira Nazirah seorang pelajar Tingkatan 4 di SMK Tanah Putih.

            Ayah saya seorang lelaki yang ringan tulang dan bertanggungjawab. Beliau bekerja keras untuk mencari rezeki bagi menyara hidup kami sekeluarga. Walaupun beliau sibuk bekerja tetapi beliau tetap meluangkan masa untuk menemani kami. Ibu saya seorang wanita yang lemah-lembut dan penyayang. Beliau menjaga makan minum kami bagai menatang minyak yang penuh. Ibu sering menyediakan lauk-pauk yang enak untuk kami. Ayah sering memuji masakan ibu. Saya suka makan makanan yang disediakan oleh ibu, terutamanya kari ayam.

            Saya ialah anak bongsu dalam keluarga saya. Hubungan saya dan kakak saya sangat erat seperti isi dengan kuku. Kami sentiasa belajar dan bermain bersama-sama. Kakak selalu memberi tunjuk ajar kepada saya dalam pelajaran. Kami juga sering berkongsi isi hati dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

            Pada hujung minggu, kami sekeluarga akan bersiar-siar di tepi pantai. Kata ayah, hari minggu adalah hari keluarga. Ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pada cuti sekolah pula, kami akan makan angin di dalam ataupun di luar negara. Ayah berpendapat, jauh perjalanan luas pengetahuan. Justeru, kita tidak akan menjadi katak di bawah tempurung.

            Saya amat bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Saya berharap agar kami sekeluarga dapat hidup bersama buat selama-lamanya.

Langkah-langkah Yang Diambil Untuk Mencapai Keputusan Yang Cemerlang Dalam UPSR


            Saya bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Saya telah mengambil beberapa langkah agar boleh mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR.
            Saya telah membuat jadual untuk belajar dan bersukan. Dengan adanya jadual ini, saya dapat menguruskan masa saya dengan sebaik-baiknya. Saya juga dapat mendisiplinkan diri untuk belajar dan bermain.
            Selain itu, saya juga  menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya mencatat nota-nota yang penting apabila guru memberikan penerangan. Saya juga rajin menelaah pelajaran di rumah dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru setiap hari.
            Di samping itu, saya dan beberapa orang rakan karib belajar secara berkumpulan pada waktu petang. Kami berbincang tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru di sekolah. Kami juga sering bertukar-tukar  fikiran dan pendapat untuk menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru.
            Dalam pada itu, saya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Saya selalu bersenam dan mengambil makanan yang seimbang untuk menjaga kesihatan diri. Saya juga mendapatkan tidur yang berkualiti agar badan dan minda saya boleh mendapat rehat yang secukupnya. Amalan ini akan membantu saya untuk belajar dengan lebih berkesan.
            Saya akan terus berusaha untuk merealisasikan impian saya bak kata pepatah, “genggam bara api, biar sampai jadi arang”. Saya yakin bahawa impian saya pasti akan menjadi kenyataan.

                   

Langkah-langkah Yang Diambil Untuk Mencapai Keputusan Yang Cemerlang Dalam UPSR


            Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menjelang lapan bulan lagi. Saya bakal menduduki peperiksaan yang amat penting ini. Saya telah mengambil beberapa langkah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

            Saya telah membuat jadual untuk belajar dan bersukan. Dengan adanya jadual ini, saya dapat menguruskan masa saya dengan sebaik-baiknya. Saya juga dapat mendisiplinkan diri untuk belajar dan bermain.

            Saya menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya membuat nota penting apabila guru memberikan penerangan. Saya juga rajin menelaah pelajaran di rumah dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru setiap hari.

            Selain itu, saya menghadiri kelas tambahan di sekolah dan kelas tambahan swasta. Dengan menghadiri kelas tambahan, saya dapat mendisiplinkan diri untuk menyiapkan latihan tambahan yang diberi oleh guru. Saya juga bertanya kepada guru sekiranya menghadapi masalah dalam pelajaran.

            Di samping itu, saya dan beberapa orang rakan karib belajar secara berkumpulan pada waktu petang. Kami berbincang tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru di sekolah. Kami juga sering bertukar-tukar  fikiran dan pendapat untuk menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru.

            Dalam pada itu, saya juga menjaga kesihatan saya. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa untuk mempunyai otak yang cerdas, saya mesti memiliki badan yang cergas. Pada setiap hari minggu, saya akan berjoging di taman rekreasi yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Jika badan saya cergas, minda saya pun cerdas.

            Saya berharap agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR dengan langkah-langkah yang saya ambil seperti yang dinyatakan di atas. Bak kata pepatah, “genggam bara api, biar sampai jadi arang”. Saya akan berpegang kepada prinsip ini untuk terus berusaha bagi merealisasikan impian saya.

                   

Pengalaman di Kebun Sayur


           Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya dan keluarga telah pulang ke kampung untuk menziarahi datuk dan nenek. Rumah datuk saya terletak di Rompin. Kami tinggal di sana selama tiga hari. Kepulangan kami disambut oleh datuk dan nenek dengan tangan terbuka.

            Hari belum terang tanah, saya sudah bangun daripada tidur. Selepas bersarapan, saya pun mengikut datuk ke kebun sayurnya. Kebun sayur datuk agak luas. Di sana terdapat pelbagai jenis sayur seperti sayur sawi, bayam, terung, timun, cili dan bendi.

            Saya menolong datuk mencangkul tanah untuk membuat batas. Kemudian, saya menaburkan benih di atas batas. Datuk pula membubuh baja dan menyiram tanamannya. Kata datuk, sayur-sayuran ini hendaklah dijaga dengan baik agar dapat hidup subur.

            Pada waktu petang, saya dan nenek memetik sayur yang sudah matang. Kami meletakkan sayur-sayuran ke dalam raga. Saya juga mencabut rumput-rampai yang tumbuh di sekeliling batas. Kami menjaga tanam-tanaman di kebun supaya tidak dimakan ulat.

            Pada sebelah malam, saya membantu datuk dan nenek berniaga di pasar malam. Saya menyusun sayur-sayuran di atas para-para. Ramai orang suka membeli sayur dengan datuk kerana sayur-sayuran datuk segar dan harganya berpatutan. Kami melayan pelanggan dengan mesra dan berbudi bahasa.

            Saya berasa sangat gembira kerana dapat membantu datuk di kebun sayur. Saya akan pulang ke kampung lagi pada cuti sekolah yang akan datang.  

Friday, 29 August 2014

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Saya

          Pada hari Sabtu baru-baru ini, sekolah saya telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan yang Ke-34 di padang sekolah.
          Sehari sebelum temasya sukan, guru- guru dan murid-murid berganding bahu untuk menghias padang sekolah. Cikgu Suhaimi dan sekumpulan murid lelaki Tahun Enam melukis garisan balapan di padang. Beberapa orang guru dan murid-murid pula sibuk menggantung panji yang berwarna-warni di sekeliling padang. Kanopi turut didirikan untuk setiap pasukan rumah sukan di tepi padang sekolah. Semua warga sekolah sibuk menjalankan tugas masing-masing.
          Pada hari tersebut, ramai orang datang ke sekolah. Para ibu bapa mengambil tempat duduk di bawah kanopi khas yang disediakan. Murid-murid pula berkumpul di khemah rumah sukan masing-masing. Suasana di sekolah saya meriah sekali.
          Upacara temasya sukan bermula dengan perarakan pasukan pancaragam dan rumah-rumah sukan masuk ke padang. Kami berdiri tegak untuk menyanyikan lagu "Negaraku", lagu negeri Pahang dan lagu sekolah. Selepas bacaan ikrar, guru besar menyampaikan ucapan perasmian di atas pentas.
          Acara sukan bermula dengan acara sukaneka. Contohnya, lari dalam guni, lari bawa bola, lari bawa bola ping pong dalam sudu dan banyak lagi acara yang menarik. Selepas itu, acara balapan dan acara padang pun berlangsung. Contohnya, lumba lari 100m, 200m, 400m, 4x100m, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru.
          Acara yang paling kemuncak pada hari tersebut ialah acara tarik tali. Semua penonton bersorak-sorai untuk memberi sokongan kepada pasukan rumah sukan masing-masing. Sorakan kami telah menyemarakkan semangat kesukanan semua peserta yang bertanding.
          Kira-kira pada pukul 11.30 pagi, upacara penyampaian hadiah pun berlangsung. Guru besar menyampaikan piala kepada para pemenang. Olahragawan pada tahun ini ialah Mohammad Syazwan dan olahragawati pula ialah Nur Farhana Nazihah. Johan keseluruhan pada temasya sukan tahun ini jatuh kepada pasukan rumah Merah.
          Temasya sukan tahunan sekolah saya berakhir pada pukul 2.00 petang. Kami pulang ke rumah dengan gembira.

Haiwan Yang Paling Saya Sayangi

          Setiap orang mempunyai haiwan yang paling disayangi. Begitu juga dengan saya. Haiwan yang paling saya sayangi ialah kucing. Kucing ini dihadiahkan oleh ayah saya pada hari jadi saya yang lalu.

          Saya menamakan kucing ini Kipu. Kipu berusia satu tahun. Bulu Kipu berwarna putih bertompok perang. Bulu Kipu pendek dan gebu. Matanya hitam dan besar. Sifat Kipu yang lincah dan manja telah menarik hati saya untuk membelanya.

          Saya memberi Kipu makan makanan kucing dua kali sehari. Saya sentiasa memastikan Kipu makan makanan yang segar dan berkhasiat. Setiap tiga bulan, saya akan meminta ayah menghantar Kipu ke klinik haiwan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

          Pada hujung minggu, saya dan ayah akan membersihkan badan Kipu. Saya juga akan membersihkan sangkar, tempat tinggal Kipu supaya bersih. Ibu dan ayah sering menasihati saya agar menjaga Kipu dengan bersungguh-sungguh dan memastikan Kipu sentiasa bersih dan sihat.

          Kipu seekor kucing yang jinak dan pandai mendengar arahan saya. Saya sering menghabiskan masa senggang saya bersama-sama Kipu. Kipu suka mengodek-ngodek ekornya apabila duduk di atas riba saya.

          Saya amat menyayangi Kipu. Saya berjanji akan memelihara kucing ini dengan penuh kasih sayang.

Sunday, 3 August 2014


Surat Tidak Rasmi

                                                                       No. 8, Lorong Bukit Ubi 33,
                                                                             25200 Kuantan,
                                                                             Pahang Darul Makmur.

                                                                             24 JULAI 2014.

Menemui sahabatku, Adi yang kini berada di Segamat, Johor. Semoga saudara berada dalam keadaan sihat walafiat.
Saudara,
            Apa khabar saudara di sana? Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.
            Sudah sebulan lamanya saya dan keluarga berpindah ke Kuantan. Saya sudah dapat membiasakan diri dengan persekitaran di sini. Dalam warkah ini akan saya ceritakan keadaan di sekolah baharu saya.
            Saya ditempatkan di SJK (C) Chung Ching kerana sekolah ini berdekatan dengan rumah saya. Sekolah ini besar dan bersih. Setiap hari, saya akan berjalan kaki ke sekolah. Perjalanan dari rumah saya ke sekolah hanya mengambil masa 10 minit sahaja.
            Di sekolah ini terdapat tiga blok bangunan, iaitu blok A, blok B dan blok C. Di sekolah ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik darjah, bilik muzik, makmal komputer, makmal sains, kantin, dewan, perpustakaan yang berhawa dingin dan padang yang luas. Di sini juga terdapat taman sains dan pondok bacaan. Kami dapat menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang berfaedah di sini.
            Guru besar sekolah ini ialah Encik Tang. Beliau seorang Guru Besar yang tegas tetapi penyayang. Di sekolah ini ada 75 orang guru dan 1100 orang murid. Guru-guru di sini ringan tulang dan berdedikasi. Murid-murid pula baik hati dan peramah.
Saya belajar di Tahun Lima Budi. Guru kelas saya ialah Puan Fong Hui Ling. Cikgu Fong telah melantik saya sebagai ketua kumpulan. Saya telah berkenalan dengan ramai kawan di sini. Mereka banyak membantu saya dalam pelajaran.
Saudara,
            Bagaimanakah keadaan sekolah dan kawan-kawan di sana? Saya amat merindui kalian. Saya bercadang untuk pulang ke Segamat pada cuti sekolah yang akan datang. Dapatlah kita berjumpa dan beromong kosong.
            Sekian sahaja coretan saya buat kali ini. Sampaikan salam rindu daripada saya kepada kawan-kawan kita di sana. Sekian, terima kasih.

                                                                                                      Sahabatmu,        
                                                                          Amirul

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...