Saya bakal
menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Saya telah mengambil beberapa
langkah agar boleh mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR.
Saya telah membuat jadual untuk
belajar dan bersukan. Dengan adanya jadual ini, saya dapat menguruskan masa
saya dengan sebaik-baiknya. Saya juga dapat mendisiplinkan diri untuk belajar
dan bermain.
Selain itu, saya juga menumpukan sepenuh perhatian
semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya mencatat nota-nota yang penting apabila guru
memberikan penerangan. Saya juga rajin menelaah pelajaran di rumah dan
menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru setiap hari.
Di samping itu, saya dan beberapa
orang rakan karib belajar secara berkumpulan pada waktu petang. Kami berbincang
tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru di sekolah. Kami juga sering
bertukar-tukar fikiran dan pendapat untuk
menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru.
Dalam pada itu, saya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Saya selalu bersenam dan mengambil makanan yang seimbang untuk menjaga kesihatan diri. Saya juga mendapatkan tidur yang berkualiti agar badan dan minda saya boleh mendapat rehat yang secukupnya. Amalan ini akan membantu saya untuk belajar dengan lebih berkesan.
Saya akan terus berusaha untuk merealisasikan impian saya bak kata pepatah, “genggam bara api, biar sampai jadi
arang”. Saya yakin bahawa impian saya pasti akan menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment