Sunday, 31 August 2014

Langkah-langkah Yang Diambil Untuk Mencapai Keputusan Yang Cemerlang Dalam UPSR


            Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menjelang lapan bulan lagi. Saya bakal menduduki peperiksaan yang amat penting ini. Saya telah mengambil beberapa langkah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

            Saya telah membuat jadual untuk belajar dan bersukan. Dengan adanya jadual ini, saya dapat menguruskan masa saya dengan sebaik-baiknya. Saya juga dapat mendisiplinkan diri untuk belajar dan bermain.

            Saya menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas. Saya membuat nota penting apabila guru memberikan penerangan. Saya juga rajin menelaah pelajaran di rumah dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru setiap hari.

            Selain itu, saya menghadiri kelas tambahan di sekolah dan kelas tambahan swasta. Dengan menghadiri kelas tambahan, saya dapat mendisiplinkan diri untuk menyiapkan latihan tambahan yang diberi oleh guru. Saya juga bertanya kepada guru sekiranya menghadapi masalah dalam pelajaran.

            Di samping itu, saya dan beberapa orang rakan karib belajar secara berkumpulan pada waktu petang. Kami berbincang tentang pelajaran yang telah diajar oleh guru di sekolah. Kami juga sering bertukar-tukar  fikiran dan pendapat untuk menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru.

            Dalam pada itu, saya juga menjaga kesihatan saya. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa untuk mempunyai otak yang cerdas, saya mesti memiliki badan yang cergas. Pada setiap hari minggu, saya akan berjoging di taman rekreasi yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Jika badan saya cergas, minda saya pun cerdas.

            Saya berharap agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR dengan langkah-langkah yang saya ambil seperti yang dinyatakan di atas. Bak kata pepatah, “genggam bara api, biar sampai jadi arang”. Saya akan berpegang kepada prinsip ini untuk terus berusaha bagi merealisasikan impian saya.

                   

No comments:

Post a Comment

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...