Friday 29 August 2014

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Saya

          Pada hari Sabtu baru-baru ini, sekolah saya telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan yang Ke-34 di padang sekolah.
          Sehari sebelum temasya sukan, guru- guru dan murid-murid berganding bahu untuk menghias padang sekolah. Cikgu Suhaimi dan sekumpulan murid lelaki Tahun Enam melukis garisan balapan di padang. Beberapa orang guru dan murid-murid pula sibuk menggantung panji yang berwarna-warni di sekeliling padang. Kanopi turut didirikan untuk setiap pasukan rumah sukan di tepi padang sekolah. Semua warga sekolah sibuk menjalankan tugas masing-masing.
          Pada hari tersebut, ramai orang datang ke sekolah. Para ibu bapa mengambil tempat duduk di bawah kanopi khas yang disediakan. Murid-murid pula berkumpul di khemah rumah sukan masing-masing. Suasana di sekolah saya meriah sekali.
          Upacara temasya sukan bermula dengan perarakan pasukan pancaragam dan rumah-rumah sukan masuk ke padang. Kami berdiri tegak untuk menyanyikan lagu "Negaraku", lagu negeri Pahang dan lagu sekolah. Selepas bacaan ikrar, guru besar menyampaikan ucapan perasmian di atas pentas.
          Acara sukan bermula dengan acara sukaneka. Contohnya, lari dalam guni, lari bawa bola, lari bawa bola ping pong dalam sudu dan banyak lagi acara yang menarik. Selepas itu, acara balapan dan acara padang pun berlangsung. Contohnya, lumba lari 100m, 200m, 400m, 4x100m, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru.
          Acara yang paling kemuncak pada hari tersebut ialah acara tarik tali. Semua penonton bersorak-sorai untuk memberi sokongan kepada pasukan rumah sukan masing-masing. Sorakan kami telah menyemarakkan semangat kesukanan semua peserta yang bertanding.
          Kira-kira pada pukul 11.30 pagi, upacara penyampaian hadiah pun berlangsung. Guru besar menyampaikan piala kepada para pemenang. Olahragawan pada tahun ini ialah Mohammad Syazwan dan olahragawati pula ialah Nur Farhana Nazihah. Johan keseluruhan pada temasya sukan tahun ini jatuh kepada pasukan rumah Merah.
          Temasya sukan tahunan sekolah saya berakhir pada pukul 2.00 petang. Kami pulang ke rumah dengan gembira.

No comments:

Post a Comment

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...