Monday, 23 September 2013
Suasana di Pasar Malam
Sunday, 22 September 2013
Aku Sekaki Payung
Sekolah Saya
Kebaikan Menonton Televisyen
Thursday, 19 September 2013
Kebaikan Membaca Surat Khabar
Thursday, 5 September 2013
Sambutan Hari Guru di Sekolah Saya
Tepat pada pukul 8.00 pagi, guru-guru dan murid-murid telah berhimpun di dalam dewan. Semua warga sekolah berdiri tegak untuk menyanyikan lagu "Negaraku", lagu negeri dan lagu sekolah. Selepas itu, Guru Besar menyampaikan ucapan di atas pentas. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau turut mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru.
Seterusnya, murid-murid mengadakan persembahan di atas pentas. Contohnya, tarian, nyanyian, lawak jenaka, orkestra, diabolo dan pertunjukan silap mata. Persembahan-persembahan yang menarik telah menghiburkan hati para penonton.
Kemudian, pengerusi majlis mempersilakan guru besar untuk menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat di sekolah kami. Cikgu Kamarudin telah dipilih sebagai Tokoh Guru pada tahun ini. Semua warga dewan memberikan tepukan yang gemuruh kepada beliau.
Selepas acara penyampaian hadiah, semua guru dijemput ke kantin untuk jamuan ringan. Kami turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan hadiah berupa bunga, kad ucapan dan bekas tangan kepada guru-guru yang disayangi sebagai tanda penghargaan. Kami juga merakam gambar dengan guru-guru untuk dijadikan kenangan.
Majlis sambutan Hari Guru berakhir pada pukul 1.00 petang. Kami pun pulang ke rumah dengan gembira.
Monday, 2 September 2013
Perkhemahan Pengakap di Sekolah Saya
Kira-kira pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di padang sekolah. Ketua perkhemahan, Cikgu Rosli memberikan taklimat ringkas kepada semua ahli pengakap dan membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas. Kami pasang telinga untuk mendengar arahan beliau.
Mula-mula, kami mendirikan khemah mengikut kumpulan masing-masing. Semua ahli pengakap berganding bahu untuk melaksanakan tugas yang diarahkan oleh ketua kumpulan bagai aur dengan tebing. Selepas itu, kami menghadiri ceramah pertolongan cemas di dewan sekolah. Cikgu Kamar dan beberapa orang ahli pengakap senior mendemonstrasikan cara-cara memberi pertolongan cemas. Beliau juga mengajar kami cara-cara membalut luka dengan kain anduh.
Pada waktu tengah hari, kami mengadakan pertandingan memasak. Setiap kumpulan dikehendaki menyediakan satu hidangan tradisional. Kumpulan saya telah menyediakan Nasi Goreng Kampung. Walaupun kami hanya berjaya mendapat tempat ketiga, namun saya berasa sangat gembira kerana dapat mempelajari cara-cara memasak dan menikmati masakan sendiri walaupun tidak seenak masakan ibu.
Pada sebelah petang, kami berlatih kawad kaki di tengah padang. Semua ahli pengakap mendengar arahan ketua denga teliti. Kami berkawad kaki dengan penuh disiplin dan semangat berpasukan. Kemudian, kami mengutip kayu api untuk menyalakan unggun api di hadapan khemah.
Selepas makan malam, kami duduk mengelilingi unggun api. Setiap kumpulan mempersembahkan pertunjukan mengikut kreativiti masing-masing. Cikgu Saifudin turut memetik gitar sambil menyanyi lagu Rasa Sayang. Kami semua berasa gembira dan terhibur.
Pada keesokan pagi, semua ahli pengakap menjalankan senamrobik di padang. Selepas bersarapan pagi, kami pun membersihkan tapak perkhemahan dan berkemas untuk pulang ke rumah. Kami telah mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan yang berharga hasil daripada perkhemahan ini.
Suasana di Pejabat Pos
Di penjuru pejabat pos terdapat ruang pameran yang mempamerkan pelbagai koleksi setem, sampul surat dan rantai kunci yang menarik. Ramai pengunjung melawat ke ruang pameran tersebut untuk membeli setem dan rantai kunci yang disukai oleh mereka untuk dijadikan kenangan.
Setelah selesai berusan di pejabat pos, saya dan ibu pun pulang ke rumah. Saya berharap agar kad kiriman saya selamat diterima oleh sahabat pena saya.
Sunday, 1 September 2013
Kehidupan Seorang Pekebun
Pak Jamal seorang pekebun yang ringan tulang. Dia berbadan kurus dan berkulit hitam manis. Pak Jamal dan keluarganya tinggal di sebuah rumah usang di hujung Kampung Baru.
Hari belum terang tanah, Pak Jamal sudah berada di kebunnya. Dia membanting tulang untuk mengusahakan kebunnya. Walaupun kebun Pak Jamal hanya sekangkang kera, namun dia yakin bahawa berkat usahanya pasti dapat menyara hidup isteri dan tiga orang anaknya.
Pada sebelah pagi, Pak Jamal akan mencangkul tanah untuk membuat batas. Kemudian, dia menaburkan anak benih di atas batas. Dia juga rajin membaja dan menyiram sayur-sayurannya supaya sayur-sayurannya hidup dengan subur.
Pada sebelah petang pula, Pak Jamal akan memetik sayur-sayuran yang sudah matang untuk dijual. Isteri dan anak-anaknya turut membantu dia mencabut rumput-rampai yang tumbuh meliar di sekeliling batas. Kadang kala, Pak Jamal akan menyembur racun serangga perosak supaya hasil tanamannya tidak dimakan oleh serangga perosak.
Pada waktu senja, Pak Jamal akan menjual hasil tanamannya di pasar malam. Ramai orang suka membeli sayur dengan Pak Jamal kerana sayur-sayurannya segar dan harganya pula berpatutan. Sikap Pak Jamal yang jujur dan peramah menyebabkan dia disenangi oleh semua penghuni di Kampung Baru.
Begitulah rutin hidup Pak Jamal. Dia sentiasa bersyukur walaupun hidup keluarganya bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia berdoa agar keluarganya sentiasa diberkati dan dicucuri rahmat.
Pengalaman ke Pasar
Ramai orang berkunjung ke pasar untuk membeli-belah. Suasana di pasar riuh-rendah dengan suara pengunjung dan peniaga. Di pasar terdapat banyak gerai seperti gerai sayuran-sayuran, gerai ikan, gerai daging dan gerai buah-buahan.
Saya dan ibu berjalan ke gerai sayur-sayuran. Di gerai itu ada menjual pelbagai jenis sayur. Contohnya, kangkung, bayam, kubis, timun, peria, terung dan tomato. Penjual sayur menyusun sayur-sayuran di atas para-para dengan rapi. Ibu telah memilih seikat sayur kangkung, sepeket cili dan beberapa biji ubi kentang. Ibu juga tawar-menawar harga sayur-sayuran dengan penjual itu supaya dapat membeli sayur-sayuran dengan harga yang lebih murah.
Kemudian, saya dan ibu pergi ke gerai buah-buahan. Di gerai itu terdapat buah-buahan tempatan dan buah-buahan import. Antaranya ialah tembikai, nanas, epal, pisang, jambu batu, rambutan dan lain-lain lagi. Ibu telah membeli tembikai kegemaran kami sebagai pencuci mulut. Penjual itu melayan kami dengan mesra dan berbudi bahasa.
Selepas itu, kami pergi ke gerai ikan. Lantai di sana basah dan licin. Saya memegang tangan ibu erat-erat agar tidak tergelincir. Seorang penjual ikan asyik menjerit harga ikan yang ditawarkan untuk menarik perhatian kami. Ikan yang dijualnya segar-bugar. Ibu pun membeli selonggok udang dan dua kilogram ikan kembung.
Setelah selesai membeli-belah, saya pun menolong ibu menjinjing bakul yang penuh berisi barang lalu pulang ke rumah. Saya berharap agar dapat menemani ibu ke pasar lagi pada minggu hadapan.
Taman Permainan di Tempat Tinggal Saya
Ramai orang suka berkunjung ke taman permainan terutamanya pada waktu pagi dan waktu petang. Taman permainan ini sangat bersih dan cantik. Di sekeliling taman permainan ini telah ditanami pepohon yang rendang dan menghijau.
Di taman permainan ini terdapat pelbagai kemudahan seperti pondok rehat, bangku, tong sampah, pondok telefon awam, trek joging dan padang yang luas. Di taman ini juga terdapat alat permainan seperti jongkang-jongket, papan gelongsor, buaian, dan palang besi. Ramai kanak-kanak suka menghabiskan masa lapang mereka di sini.
Pada setiap petang, saya dan keluarga akan mengambil angin di taman permainan ini. Saya suka menunggang basikal manakala abang pula suka bermain kasut roda di taman permainan ini. Dua orang adik kembar saya yang masih kecil pula suka bermain papan gelongsor dan jongkang-jongket. Seperti biasa, ayah dan ibu akan bersembang di bawah pokok yang rendang sambil memerhatikan kami.
Pada waktu senja, suasana di taman permainan begitu meriah dengan suara gelak ketawa kanak-kanak. Di taman permainan inilah tempat kami beriadah dan bersuka ria. Dengan adanya taman permainan ini, kami boleh mengisi masa senggang kami dengan melakukan aktiviti yang berfaedah di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
Saya berasa sangat gembira kerana dapat beriadah di taman permainan bersama-sama keluarga saya. Kami akan sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan taman permainan ini.
Saturday, 31 August 2013
Catatan - Perkelahan
7.30 pagi
Saya dan keluarga bangun pada awal pagi. Saya dan adik membantu ibu menyediakan barang-barang seperti bekalan makanan, pakaian renang, pelampung, tikar dan payung besar. selepas bersiap sedia, kami pun bertolak ke Pantai Batu Buruk dengan menaiki kereta ayah.
9.00 pagi
Kami tiba di destinasi. Pemandangan di Pantai Batu Buruk indah nian dan angin bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon nyiur melambai-lambai bagai mengalu-alukan kedatangan kami. Kami menghamparkan tikar di bawah sepohon pokok yang rendang lalu meletakkan barang-barang yang dibawa.
9.30 pagi
Saya dan adik menyalin pakaian renang lalu terjun ke dalam air. Air laut jernih dan dingin. Kami bermandi-manda dengan girang sekali bagai itik mendapat air. Ayah dan ibu pula rancak berbual-bual sambil mengawasi kami berdua.
10.45 pagi
Ibu memanggil saya dan adik naik ke darat untuk menjamu selera. Saya dan adik makan dengan gelojoh kerana lapar. Ayah dan ibu tertawa melihat gelagat kami yang mencuit hati.
11.30 pagi
Kami berjalan-jalan di sepanjang gigi air. Saya dan adik sibuk mencari umang-umang dan mengutip kulit siput. Kami bercadang untuk membuat kraf tangan dengan kulit siput yang kami kumpulkan. Kami juga berpeluang untuk menunggang kuda di tepi pantai dengan bayaran RM 5.00 sahaja. Alangkah seronoknya dapat menunggang kuda bersama-sama adik.
2.00 petang
Kami mengemas barang-barang lalu pulang ke rumah. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama-sama keluarga pada hari minggu. Kami akan berkunjung ke Pantai Batu Buruk lagi pada masa yang akan datang.
Monday, 15 April 2013
Faedah Bergotong - royong
Gotong - royong membawa maksud melakukan sesuatu kerja secara beramai-ramai tanpa menerima upah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan kampung, halaman rumah, kawasan sekolah dan membaiki jambatan.
Amalan bergotong-royong boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita. Apabila kita menjalankan sesuatu aktiviti secara bergotong-royong, kerja yang berat akan ringan. Kita juga akan kurang berasa letih dan bosan.
Di samping itu, kita boleh menjimatkan masa, tenaga dan wang. Hal ini demikian kerana aktiviti bergotong-royong dijalankan secara beramai-ramai tanpa upah. Dengan adanya kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, sesuatu aktiviti dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah.
Selain itu, kita dapat memupuk persahabatan dan sifat setiakawan. Melalui aktiviti bergotong-royong, kita boleh berkenalan dengan jiran tetangga dan kawan-kawan baharu. Kita akan berpeluang untuk saling memahami dan tolong-menolong. Justeru, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, kita boleh mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Melalui amalan ini, kita akan bekerjasama dan bermuafakat untuk mengatasi sesuatu masalah. Amalan ini dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Kata orang, "jiran sepakat membawa berkat".
Pendek kata, amalan yang mulia ini wajar dipupuk demi kesejahteraan bersama.
Mata Pelajaran Kegemaran Saya
Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu. Baha...
-
Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri. Kita mestilah mandi sekurang-kurang...
-
Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya telah menyertai perkhemahan pengakap yang diadakan di sekolah saya selama dua hari satu mala...
-
Hari ini hari minggu. Ayah membawa kami sekeluarga ke Pasar Raya Pakson untuk membeli-belah. Pasar raya itu mengadakan jualan mega sem...