Sunday 8 July 2012

Mungkinkah mentari menjelma lagi...


Malam kian larut. Seperti malam-malam yang lalu, hanya bunyi cengkerik yang begitu setia menemani malam. Aku digigit kegelisahan, sukar untuk melelapkan mata. Kesunyian bergayut dalam fikiran.

Pasrah!

Aku sengaja membiarkan jendela kamar terbuka. Kedengaran deru ombak memecah keheningan. Bunyi ombak yang menghempas pantai kurasakan kian syahdu. Aku membiarkan angin bayu laut meniup menyelubungi tubuhku, membiarkan diri diancam angin yang tidak mengenal musuhnya.

"Tik! Tak! Tik! Tak!" Hujan mula turun membasahi bumi, tempias yang memercik ke muka kuusap dengan perlahan-lahan. Titisan-titisan hujan membentuk sebuah irama yang begitu menyenangkan.

Ah! Fikiranku bercelaru. Bagaimana pula dengan diriku ini? Siapakah diriku ini? Begitu sukar bagiku mengenali identitiku yang sebenar!

"Fina, mengapa masih termenung?" Tanya Cikgu Lokman sambil membelek-belek buku karangan yang masih belum kusentuh di atas meja. Pertanyaannya seperti merenggut jantungku. Aku cuba melepaskan segala yang terbuku di hati.

"Cikgu, saya, saya...... saya tak ada ibu!" kata-kata pagi tadi masih bermain-main dalam kotak fikiranku.

Hujan semakin lebat, angin bertiup kencang. Aku cuba melelapkan mata, memeluk tubuh membiarkan fikiran melayang. Sesekali kelopak mataku terbuka melihat potret seorang wanita yang tergantung teguh pada dinding yang dihiasi dengan warna merah jambu. Warna yang begitu lembut mencerminkan sifat kewanitaannya.

Mataku pdih dan pandanganku mula kelam. Aku bagai terjerumus dalam alam fantasi yang menggetarkan setiap inci hatiku. Suasana gelap-gelita.

Diri ini persis dibawa ke suatu tempat yang jauh, amat jauh. Kelihatan sinar cahaya di hadapan, semakin dekat ia semakin jelas. Ya! Sebuah mahligai usang yang penah terbina suatu ketika dulu.

Suasanaya sepi seperti tiada manusia yang menghuninya.Tanpa disedari, aku menolak daun pintu perlahan-lahan. Terbayang seorang wanita yang ayu dan berlemah-lembut. Seorang wanita yang tidak mementingkan material hidup tetapi kebahagiaan. Seorang wanita yang sanggup bertungkus-lumus mencari rezeki untuk menyara hidup seisi keluarga.

Ya! Aku mengenalinya. Dia ibuku. Seorang wanita yang agung. Ibu sanggup, dia sanggup mengharungi gelora, mengharungi segala cabaran dan dugaan.

Ibu seorang penunggu yang setia. Masih terukir harapan agar suaminya itu kembali ke pangkal jalan. Mengharapkan secebis kasih sayang daripada seorang lelaki yang digelar suami.

Kedatangan mendung hitam yang menyelubungi keluargaku itu tidak pernah kumimpikan. Peristiwa silam itu bertandang tanpa diundang.

Kulihat hari semakin kelam. Hujan lebat diikuti ribut petir. Lelaki yang digelar suami itu menagih lagi. Lelaki itu begitu kurus sehingga menampakkan tulang rusuknya. Seluruh tubuhnya menggigil. Busuk. Air hidung yang meleleh keluar dilap dengan lengan baju yang carik.

Aku kaku seketika. Mereka persis tidak sedar akan kehadiranku. Aku tercari-cari sesuatu. Aku melihat sekeliling.

Tiba-tiba, aku menjumpainya. Itu dia. Seorang anak kecil yang menyorokkan dirinya di bawah meja bersama-sama anak patung yang dipeluk rapat. Aku kenal akan anak patung itu. Itu Comot. Dapat kurasakan anak kecil itu dalam ketakutan, dalam kegelisahan.

"Eh, Sah! Pinjam dua puluh ringgit. Aku dah tak tahan ni!" Lelaki itu mula bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Wanita yang digelar isteri itu membisu.

Keadaan menjadi genting. Entah mengapa debaran di hati menjadi kencang. Aku melihat lelaki itu menghempas daun pintu. Dia mengamuk! Ya, dia mengamuk lagi. Aku sedar bahawa peperangan akan mencetus.

"Papa! Jangan papa! Jangan pukul mama, jangan papa! Mama!" Aku menjerit sekuat-kuatnya untuk menghalang namun jeritanku tidak bermakna. Tiada sesiapa pun yang mendengarnya.

Lemah...

Tanpa dipinta, air jernih bertakung di kelopak mata.

Dia kejam! Aku merenungnya dengan kebencian yang meluap-luap menusuk ke jiwa. Dia memang tidak layak digelar lelaki!

Pilu...

Aku mengangkat muka. Suasana kembali sepi. Papa sudah hilangkan diri entah ke mana. Anak kecil, turut tidak kelihatan lagi. Kulihat ibu terdampar di lantai. Dahinya berdarah.

Aku sedar, hati ibu berketul dengan gumpalan penderitaan. Aku segera mendapatkan ibu. Air matanya masih bercucuran di pipi. Rasa kasihan mula terbit di hatiku.

"Mama, jangan menangis. Fina ada bersama," aku mengusap lumuran darah di dahi ibu. Ibu sekadar mengangguk-angguk beberapa kali tanpa sepatah bicara.

Tenang.

Aku berasa tenang dan kian letih. Pandanganku menjadi kabur. Suasana samar-samar. Tanpa disedari, aku melelapkan mata dalam dakapan ibu.

Sejuk.

Tiba-tiba sahaja aku berasa sejuk. Terasa keseorangan. Di mana ibu?

"Mama!" Teriakku dengan nada yang lantang. Aku segera beralih ke alam nyata, membiarkan lamunanku tergantung tanpa tali. Pipiku basah, air mata menitis lagi. Wajah ibu masih berlayar di legar pandanganku. Di sinilah kami berpisah dan hanyut dalam dunia masing-masing.

Apakah begitu murah air mata seorang gadis sepertiku? Mengapakah Yang Maha Esa sanggup mempermainkan aku persis sebutir pasir yang lemah lagi kerdil ini? Mengurnia aku kebahagiaan namun dalam sekelip mata memusnahkannya sama sekali.

"Tidak, tidak rela aku berpisah dengan mama," bisikan hatiku.

Aku mengeluh panjang. Apakah dosaku?

Ayah, sudah dituakan oleh masa dan keadaan yang agak menghentak. Dia sudah insaf, menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang. Tampak jelas sekali kedut-kedut tua yang membanjiri wajah ayah tika ini.

Aku tiba-tiba digeletek rasa terharu dengan sikap ayah yang menyepikan diri semenjak pemergian ibu. Aku tahu, ayah ingin menebus segala-galanya yang berlalu. Ayah cuba membina kembali mahligai yang sudah runtuh sekian lama namun tidak lagi sempurna seperti dulu.

"Mama, mahligai tanpa permaisuri tidak berseri." Bisikku. Alangkah baiknya dapat
kukembali ke masa silam menghalang ibu meninggalkan aku dan mahligai usang itu.

"Mama, kembalilah kepada anakmu, anak yang mama tinggalkan tanpa apa-apa pesanan. Mama, kembalilah ke pangkuan suamimu."

Aku merindui ibu, menghauskan belaian kasih sayang ibu seperti anak-anak yang lain, mengharapkan dorongan dan nasihat ibu untuk meneruskan perjalanan hidup ini. Ibu ibarat sebutir permata, sinar yang memberikan nafas kepadaku. Tanpa ibu, siapalah diriku.

"Mama, berpalinglah kepada anakmu yang ibu tinggalkan dalam dakapan. Anak ibu hilang tempat bermanja, tiada tempat mengadu," kulafaz tanpa disedari.

Ah! Cukuplah sekali aku melalui saat-saat yang memilukan ini. Berbagai-bagai onak dan duri telah kutempuhi. Sudah puas aku membilang butir-butir hari. Aku kepingin menikmati detik-detik kemesraan yang pernah kami bina bersama suatu ketika dulu.

Sakit!

Perasaan sayu bercampur hiba menyerbu ke benakku. Detik demi detik menguris hatiku. Aku kian hilang kesabaran untuk menunggu ibu kembali di hari senja. Tidak sabar aku menanti saat pertemuan itu.

Aku berbisik kepada diri sendiri, " mungkinkah mentari menjelma lagi......"

No comments:

Post a Comment

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...