Sunday 8 July 2012

Permainan Kegemaran Saya



            Setiap orang mempunyai permainan kegemaran sendiri. Saya juga tidak terkecuali. Permainan kegemaran saya ialah badminton.
            Pada hari jadi saya yang ke-8, ayah dan ibu telah menghadiahi saya raket badminton dan bulu tangkis. Pada waktu petang, ayah akan bermain badminton dengan saya di halaman rumah.  Semenjak itu, saya pun meminati permainan ini.
            Saya juga menyertai kelab badminton di sekolah saya. Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, saya akan menjalani latihan badminton di dewan sekolah. Jurulatih saya ialah Encik Razali. Beliau mengajar saya teknik-teknik memukul bulu tangkis yang betul. Kadang kala, saya akan bermain badminton bersama-sama jiran saya, Ah Meng di gelanggang badminton.
            Bermain badminton bukan sahaja dapat mengisi masa lapang saya, malahan dapat menyihatkan badan saya. Semasa bermain badminton, badan saya akan berpeluh. Oleh itu, badan saya cergas dan minda saya cerdas.
            Ayah dan ibu sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk menceburi bidang sukan badminton. Mereka juga sering menasihati saya agar berlatih dengan bersungguh-sungguh. Saya pernah menggondol pingat emas  dalam perlawanan badminton yang dianjurkan di sekolah saya. Ayah dan ibu berbesar hati dengan kejayaan saya.
            Dato’ Lee Chong Wei merupakan idola saya. Saya ingin mengikut jejak beliau  untuk menjadi seorang pemain negara yang terkenal dan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
            Saya sangat gemar bermain badminton. Saya berharap agar usaha saya akan membuahkan hasil.

7 comments:

Mata Pelajaran Kegemaran Saya

Nama saya ialah Jasmine Lee. Saya belajar di SJK (C) Chung Hwa Wei Sin. Mata pelajaran kegemaran saya ialah Bahasa Melayu.             Baha...